Menjelang hari penamaan calon, frasa ‘tsunami rakyat’ mula menggantikan tsunami Melayu bagi menggambarkan kemeriahan ceramah pembangkang di kawasan-kawasan sub bandar dan luar bandar.
Bagi Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara Perak, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin, frasa tsunami rakyat amat tepat menggambarkan kebangkitan pelbagai bangsa Melayu, Cina dan India menolak pentadbiran BN yang lemah dan mendera rakyat dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan serta kenaikan kos hidup melampau.
Katanya, di seluruh negara mood rakyat untuk berubah bukan sahaja di bandar malah kelihatan di ceruk kampung pedalaman yang kurang maklumat sekali pun.
“Di mana saya pergi, kos sara hidup ialah topik nombor 1 hangat di Malaysia. Ini adalah disebabkan oleh pemotongan subsidi untuk bermacam-macam barang dan perlaksanaan GST sejak tiga tahun lalu yang menyebabkan harga barang meningkat tinggi.
“Di kawasan kampung saya memudahkan kempen dan beritahu pengundi pilihan mereka sama ada undi Pakatan Harapan (PH) yang berlogo PKR untuk menghapuskan GST atau logo-logo lain untuk kekalkan GST,” terang Nizar yang berpendapat analogi yang mudah adalah wajar untuk penduduk kampung.
Beliau yakin gelombang perubahan sangat jelas untuk pilihan raya umum kali ini tetapi mengingatkan pimpinan dan aktivis PH agar berhati-hati dengan muslihat BN.
“Di media sosial, pengundi dari semua bangsa telah menyatakan hasrat mereka untuk menolak BN dan saya berpendapat untuk PRU14, masyarakat Melayu sudah bersedia membuat perubahan dengan mengundi Pakatan.
“Kita harus giatkan usaha untuk menyampaikan mesej harapan baru kepada penduduk di kampung. Saya rasa sokongan untuk PH sudah mencukupi di kawasan bandar tetapi di kampunglah tempat pertarungan utama yang akan menentukan masa depan rakyat dan negara.
“Saya berani kata tsunami perubahan akan melanda pada 9 Mei nanti. Jom, kita di pihak PH akan berganding bahu dengan rakyat untuk melakukan yang terbaik untuk negara,” kata Nizar kepada Suara pakatan daily.