Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan (HARAPAN) Husam Musa berkata sejumlah doktor tersenarai sebagai calon HARAPAN Kelantan kerana menurutnya “negara sedang sakit”.
Husam berkata demikian sebagai mengulas pencalonan enam doktor perubatan yang akan bertanding sebagai calon HARAPAN dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.
“Kita mempunyai calon dari kalangan doktor perubatan seramai enam orang. Doktor paling ramai sekali, kerana negara kita sedang sakit.
“Sakit dari segi ekonomi, kewangan, politik. Kelantan pun sakit, kita memerlukan doktor,” katanya ketika berucap di majlis pengisytiharan calon HARAPAN Kelantan di Kota Bharu, malam ini.
Dalam pengumuman itu, Husam disahkan akan mencabar Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan di parlimen Kota Bharu.
Pengumuman itu sekali gus bakal menyaksikan saingan hebat sekali gus kerusi paling menjadi tumpuan di negeri itu yang akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru.
Calon Fikhran Hamshi Mohd Fatmi dari BN sebelum ini dilaporkan akan bertanding di kerusi berkenaan.
Mengulas lanjut, Husam berkata calon HARAPAN yang diumumkan juga boleh diibaratkan sebagai ‘hidangan menyelerakan’.
Ini kerana, tambah Husam, calon-calon mereka disusun untuk menjadi ‘hidangan yang menyelerakan’ dan lengkap untuk rakyat Kelantan.
“Berbanding dengan calon parti tertentu yang mengumumkan calon mereka yang sebahagiannya telah diketahui oleh rakyat pretasi mereka.
“Kita membawa satu tema perubahan, oleh sebab itu calon-calon kita bukan sahaja berwawasan, berwibawa, dan berkelayakan.
“Tetapi lebih penting daripada itu mereka mampu melaksanakan tugas untuk mentadbir negeri Kelantan dengan lebih baik dan menjayakan perubahan di peringkat negara,” katanya.
Naib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu turut menyindir PAS yang menurutnya tidak serius memberi tentangan kepada BN.
“HARAPAN masuk (PRU14) bukan jadi pengacau kepada PAS tetapi bersedia ambil alih dan mentadbir dengan lebih baik.
“AMANAH walaupun parti baru dalam HARAPAN tetapi kita mempunyai senarai orang berkelayakan, mereka yang mendahului dalam menyahut perjuangan,” katanya. – Mkini