Kerusi Dun Air Putih yang disandang Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru pada PRU14.
Guan Eng yang bertanding atas tiket PKR menjadi calon terakhir menghantar borang penamaan calon sebelum kaunter penamaan calon ditutup pada jam 10 pagi di Kompleks Masyarakat Penyayang, di sini, hari ini.
Kelewatan Guan Eng disebabkan beliau terlebih dahulu menyerahkan borang penamaan calon bagi kawasan Parlimen Bagan di Butterworth.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu pada sebelum ini telah memenangi kerusi Dun tersebut selama dua penggal berturut-turut.
Beliau akan berhadapan dengan calon BN, Teng Heap Seng; calon Parti Bersama Malaysia (MU), Tan Gim Theam dan calon Gagasan Sejahtera, R.Manikandan yang mewakili Parti Cinta Malaysia (PCM).
Guan Eng pada PRU12 telah menang di kerusi Dun Air Putih dengan majoriti 4,061 undi.
Manakala pada PRU13 lalu, beliau menang dengan majoriti lebih besar iaitu 7,744 undi.
Dun Air Putih merupakan antara empat kawasan Dun yang terletak dalam Parlimen Bukit Bendera.
Majlis penamaan calon bagi kawasan Parlimen Bukit Bendera berlangsung di Dewan Masyarakat Penyayang, Georgetown.
Bagi kerusi Parlimen Bukit Bendera pula akan berlaku tiga penjuru antara calon BN, Andy Yong Kim Seng; calon Pakatan Harapan, Wong Hon Wai; dan calon Parti Bersama Malaysia, Tan Gim Theam.
Sementara di kerusi Dun Tanjong Bunga akan berlaku pertandingan empat penjuru melibatkan Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow.
Beliau akan berhadapan dengan calon Pakatan Harapan, Zairil Khir Johari; calon Parti Bersama Malaysia, Lee Zheng Yong dan calon Parti Rakyat Malaysia, Chua Cheong Wee.
Manakala di Dun Kebun Bunga dan Pulau Tikus masing-masing akan menghadapi pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Pakatan Harapan dan Parti Bersama Malaysia.