Kelam kabut pada hari penamaan calon yang menyaksikan 3 insiden pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dipertikaikan integriti dan kredibiliti mereka menyebabkan rakyat lebih marah kepada kerajaan BN.
Menurut Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran yang bertanding di Parlimen Cameron Highlands, kemarahan rakyat itu wajar digunakan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk menaikkan lagi sentimen penolakan terhadap BN.
“Pengundi dari semua lapisan masyarakat harus digesa menunjukkan bantahan terhadap insiden-insiden seperti itu dengan memberikan undi mereka kepada PH
“Kita perlukan satu tsunami rakyat. Pentadbiran Kerajaan BN tidak boleh diteruskan lagi sebab nama BN dan para pemimpin BN sudah tercemar di seluruh dunia dengan ‘taktik’ (kotor) pilihan raya umum yang berlaku pada hari penamaan calon.
“Di Cameron Highlands, peluang saya adalah baik untuk merampas kerusi ini dari MIC. Kini ramai orang di Cameron Highlands sudah celik politik dan saya harap PH Pahang dapat menunjukkan prestasi yang baik.
“Saya rasa optimis bahawa insiden-insiden yang telah menggagalkan calon PH akan menguatkan usaha rakyat untuk menolak BN,” kata Manogaran.
Beliau juga memberi amaran terhadap analisis-analisis yang disiarkan oleh media arus perdana bahawa BN akan menang 2/3 kerusi parlimen sebagai percubaan melemahkan semangat penyokong PH.
Menurutnya, banyak analisis ahli akademik yang lebih jujur dan meramalkan kemenangan PH tidak pula disiarkan oleh media arus perdana sekiranya mereka telus kepada rakyat.
Namun perkara paling mustahak, kata Manogaran, ialah sikap berhati-hati penyokong PH terhadap penipuan pada hari mengundi, termasuk mencegah pengundi hantu daripada meloloskan diri.
“Masih ada masa lagi untuk menang. Teruskan usaha.
“Saya menggesa semua agen PACA dari pihak kita untuk bersiap-sedia menangani pelbagai muslihat musuh pada hari pengiraan undi. Itulah masa genting di mana PH boleh ditewaskan dengan pelbagai taktik yang gila dan kotor,” tegas Manogaran lagi.
Beliau turut menggesa jentera PH agar lebih bersemangat untuk menumbangkan BN.
“Yang penting kita mesti kuatkan usaha dengan memberi fokus kepada isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan. Kita buat kempen yang ‘simple’ sekarang.
“Gunakan slogan seperti ‘Jom tukar kepada yang lebih baik’, ‘Hapuskan GST’, ‘Turunkan harga minyak’ dan sebagainya.
“Saya berpendapat kita mampu menang pilihanraya umum ini jika kita terus mara ke depan seperti sebuah kereta kebal,” akhirinya.