Tindakan beberapa orang pemimpin PKR yang mengumumkan keluar parti sejak kebelakangan ini sedikit-sebanyak telah menjejaskan kekuatan parti itu di peringkat akar umbi. Pemimpin bukan sahaja mengisytihar diri keluar parti tetapi juga memburuk-burukkan parti yang ditinggalkan, ia sekali gus memberi imej negatif terhadap prestasi PKR secara umumnya di mata rakyat
Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Dr Irene Fernandez berpendapat bagi mengelakkan perkara itu daripada berulang PKR perlulah lebih berhati-hati pada masa hadapan dalam memilih pemimpin. Jika tidak parti tidak akan mempunyai ruang untuk memperbaiki kelemahan, setiap kali pemimpin keluar parti lawan akan membelasah dan merendah-rendahkan perjuangan PKR.
“Gobala, yang saya telah kenali sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR telah berjanji bahawa beliau tidak akan meninggalkan Anwar dan PKR, bukan seperti yang lain. Mengapa pula beliau membuat keputusan untuk mengumumkan pemergiannya sehari sebelum hari mengundi di Pilihanraya Kecil Tenang?
“Hanya Gobala yang tahu sebab-musabab yang sebenarnya. Pemilihan masa yang dibuat oleh Gobala untuk membuat pengumuman tersebut membangkitkan lebih banyak soalan dari jawapan. Apakah ada ganjaran yang diberi kepadanya dan oleh siapa?,” tanya Irene dalam tulisan terbarunya di Suarapakatandaily (baca di ruangan KOLUMNIS).
Kepada bekas pemimpim PKR Sabah, Pajudin, yang melompat ke dalam parti komponen BN beliau memberi ingatan kepada PKR agar jangan melantik pemimpin yang tidak konsisten dengan perjuangan parti di masa hadapan bagi mengelak parti dimalukan.
“Saya hanya tahu sedikit mengenai Pajudin tetapi masa singkatnya sebagai pemimpin telah menonjolkan kebolehannya. Di antara banyak soalan yang ditimbulkan ialah ‘mengapakah pimpinan PKR memilihnya padahal ada ramai lagi pemimpin yang berkebolehan di Sabah?’
“Jawapan Presiden PKR ialah ‘untuk menarik minat golongan pemuda terhadap PKR’. Tetapi jelaslah bahawa beliau bukanlah calon yang betul. Ini adalah satu kesilapan besar yang PKR telah melakukan dan sewajarnya PKR harus mempertimbangkan semula cara dan proses pemilihan pemimpin yang dilakukan mereka selama ini,” tegasnya.
Irene mencadangkan agar parti mengenal-pasti lebih ramai pemimpin yang berjiwa tabah seperti ADUN Seri Muda Suhaimi Shafei yang sanggup berdepan dengan tindakan mahkamah demi memperjuangkan prinsip dan melantik hanya pemimpin jenis ini untuk memimpin parti.
“Pada masa yang sama PKR mempunyai ramai pemimpin yang baik dan bertanggungjawab seperti Suhaimi. Beliau ialah ADUN yang bekerja keras untuk rakyat di kawasannya dan juga untuk Kerajaan Selangor. Oleh kerana kewibawaannya, regim yang bersifat menindas (BN) hendak “menembaknya” melalui proses mahkamah dengan menggunakan dakwaan yang direka atas isu kesetiaan kepada Sultan,” tambah Irene.