Situasi politik di Selangor kini amat sengit menghadapi demografi persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya dan pertembungan 3 hingga 4 penjuru antara Pakatan Harapan (PH), BN, Pas dan Parti Sosialis Malaysia.
Pengarah Komunikasi Amanah, Ir Khalid Samad berkata, senario di Selangor memerlukan PH melakukan kerja keras sebagaimana sebelum PRU 2008 dan tidak boleh mengharapkan situasi yang lebih selesa sebagaimana PRU 2013 lalu.
“Namun begitu, kami telah melakukan yang terbaik di Selangor dan saya berharap pengundi di kawasan kampung akan mendapat lebih maklumat dari anak atau saudara mereka yang bekerja di ibu kota.
“Di Selangor kos sara hidup tinggi dan faktor ini akan membantu kita meraih undi rakyat dengan dasar Pakatan untuk menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan.
“Kalau rakyat Malaysia bijak, jadikanlah bulan Mei 2018 sebagai bulan di mana ‘riwayat GST’ ditamatkan,” kata penyandang Parlimen Shah Alam itu kepada Suara pakatan daily.
Khalid menegaskan sekiranya rakyat tidak menyambut peluang kali ini untuk menurunkan kos sara hidup dan mengembalikan subsidi maka mereka perlu tunggu 5 tahun lagi untuk peluang datang semula. Tetapi pada masa itu, kos sara hidup sudah pasti di luar kemampuan rakyat untuk meneruskan hidup.
“Jika BN menang kali ini, kos sara hidup akan bertambah tinggi apabila nilai ringgit kita kekal lemah dan kadar GST akan dinaikkan, kalau bukan tahun ini, mungkin pada tahun yang berikutnya.
“Demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara, dasar-dasar PH semuanya mesra rakyat.
“Selain dari itu, pelabur asing akan datang semula kerana Kerajaan PH adalah kerajaan yang bersih, telus dan amanah,” kata Khalid lagi.