Pakatan Harapan (PH) mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan secara rasmi jumlah sebenar undi pos yang telah dijalankan pada 1 Mei 2018.
Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, undi pos yang dilaksanakan itu membabitkan 11 agensi kerajaan namun selepas tiga hari SPR masih lagi tidak mengumumkan dan mewartakannya bagi setiap bahagian pilihan raya di seluruh negara.
“Kenapa SPR masih tidak mengumumkannya? Saya tuntut SPR dengan seberapa segera mengumumkan dan mewartakan secara rasmi bilangan pemilih pos bagi setiap bahagian pilihan raya di seluruh negara agar parti-parti yang bertanding mengetahui bilangan sebenar pemilih pos yang berdaftar bagi kategori 1A, 1B dan 1C.
“Pengumuman dan pewartaan mestilah diumumkan sebelum kertas undi pos dikembalikan kepada Pegawai Pengurus.
“Kegagalan SPR mengumumkan dan mewartakan bilangan rasmi pemilih pos akan menimbulkan keraguan,” ujarnya dalam kenyaan hari ini.
SPR menetapkan pada 5 Mei akan berlaku undi awal dan 9 Mei adalah hari pembuangan undi. – MD