Pakatan Harapan yakin ‘tsunami Melayu’ akan berlaku di Johor pada PRU14.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ia kerana sambutan masyarakat Melayu terhadap program-program anjuran pembangkang amat memberangsangkan.
“Saya nak kongsi kebangkitan pengundi Melayu di kubu kuat Umno dekat Johor. Dulu kita nak masuk kampung, kena halau. Dulu kita buat ceramah empat orang cakap, dua orang saja dengar.
“Tapi sekarang kita buat dekat Pasir Gudang iaitu kerusi Menteri Besar Johor, seramai 15,000 orang hadir, 90 peratus adalah orang Melayu.
“Kita buat pula di Muar, seramai 12,000 orang hadir dan 75 peratus adalah Melayu. Kita pun buat dalam kawasan kampung iaitu di Pagoh, 10,000 orang hadir dan 90 peratus Melayu,” katanya.
Menurutnya, jumlah itu menunjukkan bahawa ‘tsunami Melayu’ mungkin akan berlaku di Johor pada pilihan raya kali ini.
“Kalau nak tumbangkan BN mesti ada tiga syarat. Pertamanya kita mesti dapat peratusan lebih 80 peratus.
“Keduanya, kebangkitan Melayu. Ketiga kita mesti pecahkan deposit tetap BN di Sabah dan Sarawak,” katanya.