Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak menghalang hasrat perletakkan jawatan Ketua AMK Pulau Pinang, Asrol Sani Abd Razak bersama sebahagian ahli parti itu selepas tidak dicalonkan pada PRU14.
Timbalan Ketua AMK, Dr Afif Bahardin berkata, ia adalah hak setiap individu dalam negara demokrasi untuk memilih, menyertai atau menyokong mana-mana parti politik.
“Soal calon ini adalah keputusan parti. Saya percaya keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti adalah yang terbaik untuk parti dan Pakatan Harapan, terutama dalam usaha menambah bilangan kerusi Dun di Pulau Pinang.
“PKR bersama rakan-rakan Pakatan Harapan sememangnya telah berbincang dan bertolak ansur dalam banyak perkara. Sebagai contoh kita serahkan kerusi Dun Teluk Bahang dan Bertam kepada Bersatu.
“Ini adalah bukti komitmen kami supaya Pakatan Harapan kukuh untuk berhadapan dengan BN. DAP juga berkompromi untuk menggunakan PKR, itu bukan satu pengorbanan yang kecil untuk parti itu,” katanya.
Menurutnya, keputusan pucuk pimpinan Pakatan Harapan untuk meletakkan calon Bersatu iaitu seorang peguam yang sangat berpengalaman dan dikenali masyarakat setempat adalah lebih baik.
“Pada saya, tindakan Asrol keluar parti itu tindakan peribadi. Kita tak ada masalah, jentera parti di semua peringkat bahkan di Kepala Batas sendiri bergerak dengan baik bersama jentera Pakatan Harapan.
“Tindakan beliau tidak menjejaskan parti. Pada saya, dalam perjuangan tiada kepentingan peribadi yang lebih besar berbanding matlamat perjuangan Pakatan Harapan,” katanya.