Pimpinan Pakatan Rakyat tidak akan melayan isu Hudud mengikut agenda Barisan Nasional. Isu Hudud yang dipanaskan sejak beberapa hari lalu hanyalah bahan propaganda untuk memporak-perandakan perpaduan parti-parti dalam gabungan itu menjelang pilihanraya umum ke-13 yang dijangka diadakan pada penghujung tahun
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menegaskan, PR tidak akan terikut-ikut dengan rentak BN dalam memperkatakan isu Hudud yang telah diputuskan sebagai bukan polisi asas perjuangan bersama.
“Kita tidak akan mengikut agenda mereka (BN) dalam isu Hudud ini. Umno –BN bercakap hanya untuk satu tujuan, supaya kita (PR) berselisih faham antara satu sama lain. Pakatan Rakyat telah memutuskan akan membincangkan isu Hudud ini di peringkat pimpinan tertinggi pada 28 September. Menjelang tarikh itu, seharusnya tiada lagi kenyataan dari pemimpin ketiga-tiga parti mengenai isu berkenaan,” kata Mustafa di dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, sebentar tadi. Sidang media tersebut turut dihadiri oleh Setiausaha Agung KEADILAN Saifudin Nasution Ismail dan Ketua DAPSY Anthony Loke mewakili DAP.
Mustafa menerangkankenyataan yang dikeluarkan oleh MB Kelantan Nik Aziz Nik Mat sehingga menimbulkan perbalahan dengan Pengerusi DAP Karpal Singh sebelum ini adalah Hudud dalam konteks negeri itu dan bukannya pelaksanaan di seluruh negara. Hudud, katanya, telah diluluskan di Kelantan pada 1993 dan dihalang perlaksanaannya oleh satu surat ancaman dari Dr Mahathir bahawa Kerajaan Persekutuan akan bertindak (mageran) sekiranya undang-undang syariah itu dikuat-kuasakan.
“Undang-Undang Jenayah Syariah (Hudud) telah diluluskan di Kelantan pada 1993. Ketika undian dibuat ada dua orang Adun Umno dan kedua-dua Adun itu menyokong Hudud. Begitu juga di Terengganu diluluskan pada pemerintahan PAS (1999 – 2004). Kedah tidak membuat Hudud kerana proses meluluskan Hudud ini melalui undian di Dewan Undangan Negeri, secara demokrasi sepenuhnya (Kedah tidak mempunyai Adun PAS mencukupi)
“Bagaimanapun perlaksanaan Hudud di Kelantan tidak berlaku kerana Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri ketika itu menghantar surat kepada Nik Aziz menyatakan Kerajaan Persekutuan akan bertindak. Pada pandangan kita kerajaan pusat mungkin bertindak mengisytiharkan mageran (darurat) kerana Kelantan pernah dimagerankan sebelum itu (1978). Maka kita memutuskan untuk tidak melaksanakan Hudud bagi mengelakkan demokrasi dimatikan,” kata Mustafa menerangkan sejarah penolakan Hudud oleh kerajaan pusat hampir dua dekad lalu.
Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution pula menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa kontroversi terbaharu yang direka-cipta oleh Umno berhubung isu Hudud akan memecah-belahkan PR. Katanya, PR lebih utuh dan matang berbanding beberapa tahun lalu dalam menghadapi isu-isu sensitif
“Tujuan dan matlamat politik BN adalah untuk menimbulkan syak wasangka antara satu sama lain dalam PR. Saya katakan hajat itu tidak akan kesampaian kerana kerjasama kita utuh. Asas kerjasama kita adalah mendahulukan kepentingan rakyat.
“Saya ingin menghantar bola ke kaki Chua Soi Lek, Presiden MCA yang berkata akan keluar BN jika Hudud dilaksanakan. Sehingga sekarang di Terengganu, undang-undang Hudud yang diluluskan oleh kerajaan PAS (1999 – 2004) tidak pernah dirombak oleh Umno yang memerintah. Umno boleh melaksanakan Hudud. Jika MCA benar-benar ingin tinggalkan BN, inilah masanya kerana undang-undang Hudud di Terengganu tidak dimansuhkan oleh kerajaan Umno-BN,” bidasnya.
Saifudin mendakwa terlibat secara langsung di pihak Kerajaan Persekutuan ketika proses undang-undang Hudud sedang digubal oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Ketika itu beliau menjadi setiausaha politik Menteri Undang-Undang Syed Hamid Albar. Beliau mengambil bahagian membincangkan Hudud bersama ahli-ahli akademik dan wakil dari kerajaan Kelantan.“Ketika undang-undang Hudud sedang digubal saya terlibat mengundang wakil Kerajaan Negeri berdialog bersama Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Kelantan telah menghantar 7 orang delegasi ketika itu.
“Kita juga menjemput sama pakar undang-undang dari beberapa universiti tempatan seperti Siti Zulaikha, Mehrun Siraj dan Siddiq Fadzil bagi membincangkan enakmen itu untuk memberi kefahaman kepada para pembuat dasar. Malangnya wacana itu terhenti apabila Dr Mahahtir mengarahkan isu Hudud tidak lagi boleh dibincangkan,” ujarnya.
Wakil DAP Anthony Loke mengulangi pendirian PR bahawa Hudud bukanlah polisi asas perjuangan bersama yang telah dipersetujui oleh ketiga-tiga parti. Oleh yang demikian, tidak timbul isu perlaksanaan undang-undang berkenaan.
Menurutnya lagi, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng juga bersetuju Hudud tidak menjadi isu kerana tidak diletakkan dalam Buku Jingga yang telah dipersetujui untuk dilaksanakan sekiranya PR memerintah Malaysia.
“Isu Hudud bagi kami bukan baru dan pendirian kami sama seperti dahulu. Isu ini hanya ditimbulkan oleh propagandis Umno dan disubcon kepada Dr Mahathir untuk menjadi pengacau bagi mencetuskan polemik antara DAP dan PAS. Umno sama sekali tidak berminat untuk melihat Hudud dilaksanakan atau tidak tetapi hanya ingin memecahkan PR sebelum pilihanraya umum ke-13
“Kita tidak akan membenarkan mereka mencapai objektif ini. Saya tegaskan,PR akan kekal di sini dan seperti ini pada pilihanraya umum akan datang,” katanya.
Menjawab soalan wartawan Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution menekankan Hudud sama sekali bukan isu yang perlu diperbesar-besarkan. Sambil mendakwa isu itu hanyalah mainan RTM,Utusan, TV3 dan pemimpin Umno, katanya, PR sehingga kini kekal mantap dan terus melaksanakan kerja-kerja persiapan pilihanraya tanpa memperdulikan sebarang isu di luar gabungan itu.