Kira-kira 400 hadir di sepanjang jalan berhampiran UTC Sentul bagi memberi sokongan kepada ‘calon baru’ Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi parlimen Batu P Prabakaran.
Pelajar jurusan undang-undang berusia 22 tahun itu bertanding sebagai calon bebas namun kini mendapat sokongan HARAPAN selepas pencalonan calon PKR Tian Chua dibatalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pengacara majlis dilihat mengajak hadirin melaungkan slogan yang jarang-jarang didengar – ‘Undi kunci untuk ke Putrajaya’.
‘Kunci’ merujuk logo yang digunakan Prabakaran untuk bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Di sekitar tapak program, kelihatan poster memaparkan Tian Chua dan Prabakaran.
Mahkamah hari ini menolak saman pemula Tian Chua SPR yang tidak membenarkan beliau bertanding di kerusi parlimen berkenaan pada PRU 9 Mei ini.
Saman itu dikemukakan atas alasan telah termaktub dalam undang-undang bahawa denda RM2,000 tidak akan menjejaskan hak atau status atau membuat hilang kelayakan pemohon sebagai ahli parlimen.
Tian Chua merupakan penyandang parlimen Batu sejak 2008 namun pada penamaan calon PRU14 28 April lalu, Tian Chua hilang kelayakan untuk bertanding di parlimen Batu selepas kertas pencalonannya ditolak berikutan denda RM2000 yang dikenakan mahkamah terhadapnya.
Sementara itu, Parabakaran akan berdepan pertembungan empat penjuru menentang calon BN Dominic Lau Hoe Chai, calon PAS Azhar Yahya, dan calon bebas VM Panjamothy A/L Muthusamy.
Tian Chua mempertahankan kerusi itu pada PRU ke-13 dengan 13,284 majoriti undi. – Mkini