Kenyataan perang saraf BN kononnya tidak berlaku kebangkitan beramai-ramai rakyat dalam program ceramah anjuran Pakatan Harapan (PH) disebabkan mereka panik kerana menyedari akan kalah buat pertama kali, kata Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkifly Ahmad.
Menurut beliau, kebangkitan rakyat adalah asli dan bukannya sengaja diperbesar-besarkan oleh PH atau menyunting gambar ceramah.
“Propaganda pihak lawan amat teruk sekarang kerana mereka sudah panik sebab tahu mereka berdepan dengan kekalahan untuk kali pertama dalam sejarah.
“Sokongan untuk PH semakin meningkat tetapi kita masih perlu giat berusaha di kawasan kampung dan kawasan Felda. Di sinilah keputusan pilihan raya dan masa depan negara akan ditentukan,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Bagaimanapun Dr Dzul berasa optimis kerana sokongan dari masyarakat Melayu bertambah. Kehadiran Mahathir, Rafidah dan Daim di ceramah perdana di Melaka baru-baru ini, katanya, akan memberi tempias di Selangor apabila masyarakat Melayu melihat wira-wira ini berkempen bagi pihak PH
“Saya mempunyai harapan sokongan Melayu untuk Pakatan meningkat tinggi menjelang hari mengundi. Masih lagi ada masa untuk meraih sokongan Melayu. Kita buat kempen yang mudah difahami sahaja mulai sekarang iaitu kempen yang menekankan isu kos sara hidup,” katanya lagi.
Menurut Dr Dzulkefly lagi, media arus perdana banyak digunakan untuk membantu BN tetapi yang penting, warga kota telah pun membuat keputusan mereka untuk bersama PH. Hanya tinggal pengundi di luar bandar dan kampung sahaja yang perlu diyakinkan.
Oleh itu, tegasnya, ceramah kelompok dan lawatan dari rumah-ke-rumah adalah penting di Kuala Selangor dan lokasi-lokasi luar bandar.
“Dengan bantuan wira-wira yang telah banyak berjasa kepada negara seperti Tun Dr. Mahathir, Rafidah Aziz dan Daim Zainuddin, saya pasti PH kali ini mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi pilihanraya umum.
“Jom! Kita sokong BN sebagai pembangkang di Parlimen!” ujarnya.