Setiap faedah dan imbuhan yang diterima penjawat awam dijamin akan dikekalkan sekiranya Pakatan Harapan mentadbir Putrajaya pada PRU14.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, perkara itu bukan suatu yang mustahil kerana ia telah dibuktikan semasa pentadbiran kerajaan pakatan di Selangor dan Pulau Pinang.
“Kami ingin tegaskan seperti mana yang berlaku di Selangor dan Pulau Pinang, masa depan dan juga sebarang imbuhan serta manfaat yang dinikmati penjawat awam akan diteruskan.
“Kalau kita lihat dari segi bonus, bonus yang dibayar oleh Selangor dan Pulau Pinang juga jauh lebih tinggi berbanding kerajaan persekutuan.
“Di Selangor (bonus) tiga bulan. Pulau Pinang pekerja bawahan terima bonus dua bulan, jauh lebih tinggi daripada kerajaan persekutuan,” katanya.
Menurutnya, setiap anggota perkhidmatan awam tidak perlu takut untuk memberi sokongan kepada Pakatan Harapan pada PRU14.
“Kempen PRU14 hampir mencapai penghujungnya. Kita menyaksikan satu pertandingan yang amat sengit antara BN dan Pakatan Harapan.
“Isu utama yang dihadapi rakyat adalah ekonomi. Pakatan Harapan janji untuk meringankan beban rakyat dengan menghapuskan GST dan bayaran BR1M sebanyak RM2,000 akan dikekalkan.
“Harga minyak akan terus stabil kalau Pakatan Harapan menang. Tapi kalau kita tak menang, harga minyak dijangka mungkin akan naik lebih tinggi selepas 9 Mei,” katanya.