Lima pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) hari ini memperbaharui ikrar melaksanakan senarai reformasi dalam tempoh 100 hari selepas berkuasa, termasuk meminta bantuan bekas presiden syarikat minyak negara, Petronas.
Dalam satu kenyataan bersama beberapa jam sebelum pengundian esok, mereka berikrar tidak akan melaksanakan “pemburuan” kerana perbezaan pendapat dalam dasar-dasar ekonomi kerajaan Datuk Seri Najib Razak selepas PM itu nmengambil alih jawatan perdana menteri pada 2009.
“Dasar fiskal yang tidak bertanggungjawab sejak 2009, dan kehakisan mutu institusi negara yang berterusan berlaku menyebabkan negara berundur ke belakang.
“Sudah tiba masa untuk perubahan progresif, bukan masa untuk memburu atau menghukum,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mereka berkata gabungan itu juga menerima sokongan nakhoda-nakhoda industri yang berpengalaman termasuklah seorang hartawan berpangkalan di Hong Kong yang tidak dinamakan.
“Mereka akan sediakan panduan untuk rumusan dan pelaksanaan rancangan reformasi,” kata mereka.
Kenyataan itu juga berkata, reformasi tersebut akan dilaksanakan secara “teratur, telus dan bersistem” bagi meningkatkan ketanggungjawaban fiskal, dan juga pelaburan sokongan dan pertumbuhan ekonomi.
“PH sedar akan keadaan fiskal semasa yang membimbangkan dan akan mebuat penilaian tanggungjawab, komitmen, perbelanjaan dan liabiliti berhubung hasil, aset dan pendapatan kerajaan dalam masa 100 hari pentadbiran demi mencapai tanggungjawab fiskal lebih tinggi,” katanya.
Kerajaan PH akan menumpukan pada 3 aspek utama dalam melaksanakan perancangan reformasi fiskal.
“Kami akan semak semula belanjawan dan kewangan kerajaan persekutuan; keakruan perakaunan dan pengurusan aset-liabiliti; dan, tanggungan hutang kerajaan yang tertunggak, termasuklah hutang yang dijamin kerajaan, terutama tanggungan asing.”
Gabungan itu juga mengulang ikrar mereka untuk menyemak semula semua projek awam utama.
“Kami harap reformasi akan berlaku dengan pelaksanaan rancangan ini yang akan memastikan fiskal dikendalikan dengan lebih mapan, inklusif dan menggalakkan pertumbuhan.
“Ini akan membantu kita menambah baik iklim pelaburan, mengurangkan kos sara hidup dan membuat perniagaan, meningkatkan daya saing nasional dan menggalakkan kemakmuran ekonomi,” kata majlis itu.