Beberapa jam sebelum pengundian bermula, seorang lagi bekas menteri kabinet, Tan Sri Syed Hamid Albar, bangkit mengajak rakyat negara ini mengundi Pakatan Harapan (PH).
“Esok adalah hari pembungan undi. Buat perkara yang betul. Jika anda mahu jadikan mimpi menjadi realiti, anda kena beranikan diri anda mengundi untuk perubahan kerana sayangkan Malaysia. Undi PH,” tulis Syed Hamid melalui Twitternya @syedhamidalbar.
Gesaan itu dibuat beliau jam 11.20 malam tadi, 40 minit sebelum masa kempen pilihan raya ke 14 ini tamat.
Syed Hamid, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam darat (SPAD) yang diambilalih oleh Tan Sri Isa Samad akhirnya membuat gesaan itu selepas memperlihatkan kecenderungan tetapi tidak jelas.
Sebelum ini beliau hanya membuat kenyataan “Siapa kata saya sokong BN” sahaja tetapi tidak pernah berkata beliau sokong PH atau mengajak pengundi mengundi PH.
Syed Hamid menyertai tiga lagi bekas menteri kabinet iaitu Tun Daim Zainudin, Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Rais Yatim yang menyokong PH di saat-saat akhir kempen. – MD