Berdasarkan kajian Invoke Malaysia, Ilham Centre, Merdeka Centre dan pelbagai ahli akademik, Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang telah dijangkakan keputusan pilihan raya umum (PRU) ke 14 pada pagi hari mengundi, 9 Mei 2018.
Keputusan yang diramal di negeri itu, BN akan mendapat 19 kerusi DUN dan Pas 12 kerusi. Sementara Pakatan Harapan (PH) hanya mendapat 1 kerusi.
Ramalan awal akan berlakunya kerajaan tergantung dengan Pas 10 kerusi, PH 10 dan BN 12 tidak akan menjadi kenyataan berdasarkan mood terakhir rakyat negeri itu semalam.
Tolak PH
Rakyat Terengganu tidak terkesan dengan kempen PH dan tidak meyakini sebuah kerajaan baharu akan tertubuh di Putrajaya. Majoriti rakyat negeri itu terperangkap dalam pemikiran tanpa BN mereka akan hilang bantuan hidup hasil daripada wang ihsan yang diterima sejak tahun 2000.
Manakala pengundi Pas pula dipasakkan dengan keyakinan parti itu akan menjadi king maker. Apatah lagi selepas Pengarah Pusat Penyelidikan Pas Dr Mohd Zuhdi Marzuki mengumumkan sokongan Melayu ke atas mereka sekitar 52% dan bakal mendapat sejumlah besar kerusi parlimen dominasi Melayu semalam.
Negeri kedua yang boleh diramal dikuasai BN adalah Perlis. Ramalan paling kontroversi Invoke Malaysia mendapati berlaku angin perubahan drastik di negeri itu yang mana PH akan menawan 1 kerusi parlimen. Bagaimanapun arus tidak cukup kuat untuk PH mengambil alih pentadbiran negeri. Rata-rata rakyat Perlis yang miskin dan berada di luar bandar berpendapat tanpa bantuan persekutuan, kerajaan negeri yang tiada hasil tidak akan mampu untuk melakukan sebarang pembangunan buat rakyat.
Negeri ketiga yang diramal kekal sebagai negeri BN adalah Pahang. Walaupun terdapat perlawanan yang mengesankan di kerusi-kerusi panas seperti Bentong, Raub, Jerantut, Temerloh dan beberapa lagi namun rata-rata pengundi Pahang masih tidak mahu menderhaka kepada PM Najib. Mereka merasakan Najib adalah PM terbaik dan akan membawa lebih banyak bantuan ke negeri itu sekiranya menjadi PM buat penggal ketiga.
Manakala Kelantan diramalkan menjadi negeri paling sengit berlakunya pertempuran antara Pas, BN dan PH. Negeri ini satu-satunya negeri yang menyaksikan kekuatan ketiga-tiga pihak seimbang. BN tidak lagi mempunyai kelebihan apabila berdepan dengan Pas secara taktikal; meletakkan calon tidak berwibawa di kubu Pas dan Pas meletakkan calon ‘ala kadar’ di kubu Umno.
Anak rantau
PH yang diketuai Husam Musa menjadi pencabar ampuh. Mengikut culaan, BN telah pun menang di Kelantan. Namun culaan pada PRU 13 juga menunjukkan Umno menang kerana arus penolakan rakyat tempatan yang mahukan pembangunan. Bagaimanapun, apabila 300,000 pengundi anak rantau yang bekerja di Pantai Barat dan Selatan Semenanjung balik mengundi maka Pakatan Rakyat ketika itu menang 2/3 DUN Kelantan.
Berdasarkan bendera yang dipasang di kereta anak rantau yang pulang semalam maka tidak dapat dinafikan undi Pas dan BN akan berpecah apabila undi ratusan ribu anak rantau ini mengambil tempat.
PH berusaha keras agar Pas gagal mendapat sehingga 10 kerusi DUN. Dengan cara itu Pas tidak mungkin bergabung bersama BN membentuk kerajaan campuran. Namun sekiranya Pas mendapat lebih 10 kerusi DUN maka mereka akan membentuk kerajaan campuran dan mengekalkan jawatan MB kepada Pas tetapi barisan exco dikuasai BN.
Di negeri-negeri lain, mengikut ramalan popular, akan dikuasai oleh PH kecuali Sarawak yang telah pun mengadakan pilihan raya negeri pada 2016. Malah Melaka juga berada dalam kedudukan 50 : 50.
Namun BN secara konservatifnya diramal mendapat Melaka, Negeri Sembilan dan Perak. Bagaimanapun, sekiranya mereka gagal di 3 negeri ini maka PH akan mendapat 100 kerusi parlimen dengan mudah.
BN pembangkang
Prestasi terbaik itu akan menyebabkan Malaysia Timur, terutama Sarawak akan mengambil langkah menyokong PH membentuk kerajaan baharu.
Sabah dan Sarawak tidak akan mengambil risiko dengan menuruti PM Najib yang tidak jelas dasarnya, terutama berhubung pengaruh islamisasi Pas dan percubaan meluluskan Rang Undang-undang 355.
PRU 14 mungkin menyaksikan buat pertama kalinya Kelantan dan Terengganu dikuasai BN dan menjadi negeri pembangkang. Kedua-dua negeri Melayu itu akan meneruskan tradisi kepembakangan mereka. Cuma kali ini BN adalah pembangkang utama.