Penantian sejak pagi tadi berakhir apabila Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai perdana menteri Malaysia ke-7, malam ini.
Negarawan itu mengangkat sumpah di depan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di Istana Negara, kira-kira 9.45 malam ini.
Pada usia 92 tahun, Dr Mahathir mencipta rekod sebagai perdana menteri tertua di dunia selepas mencipta kemenangan bersejarah buat parti pembangkang dengan menyingkirkan Barisan Nasional (BN) daripada tampuk pemerintahan negara sejak 61 tahun lalu.
Ahli Parlimen Langkawi itu pernah menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003, perdana menteri paling lama berkhidmat di Malaysia.
Presiden PPBM itu pada awalnya dijangka mengangkat sumpah pada 9.30 pagi tadi, tetapi ditangguhkan tanpa sebarang alasan diberikan.
Awal pagi tadi, PH yang dianggotai 4 parti diketuai Dr Mahathir memenangi 113 kerusi Parlimen, menewaskan Barisan Nasional (BN) dengan 79 kerusi.
Parti politik yang mendapat majoriti mudah, iaitu 112 kerusi boleh membentuk kerajaan persekutuan. – FMT