Ketika Perak dikemudi oleh Datuk Seri Nizar Jamaluddin BN menuduh PAS menjadi alat DAP. Setahun selepas pemerintahan Pakatan Rakyat terbukti pemimpin DAP Perak boleh memetik ayat al Quran dalam ucapan mereka. Namun dua tahun selepas BN merampas kuasa pelbagai program maksiat yang menimpa umat Islam di Perak.
Hal itu terbukti dengan penganjuran Pertandingan ‘Full Moon Beach’ yang turut mempertandingkan Miss Bikini Malaysia yang akan diadakan di Pangkor Island Beach Resort pada 7 dan 8 Oktober depan. Timbalan Ketua, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Al-Hiss mengecam keras penganjuran pertandingan berbentuk maksiat yang bakal diadakan itu.
“Dewan Pemuda PAS Negeri Perak meneliti kenyataan rasmi Datuk Hamidah Osman berhubung penganjuran Pertandingan ‘Full Moon Beach’ yang turut mempertandingkan Miss Bikini Malaysia yang akan diadakan di Pangkor Island Beach Resort pada 7 dan 8 Oktober depan. Kami ingin menegur aktiviti yang tidak bermoral tersebut. Kami lahirkan sikap berterima kasih dan syabas di atas langkah segera Kerajaan Negeri Perak di dalam membabitkan isu moral ini dan yang sensitif terhadap umat Islam tersebut.
“Di dalam kenyataan Datuk Hamidah tersebut juga mengakui kegagalan memantau aktiviti yang disifatkan tidak bermoral dan juga mengakui setelah pihak kami mendedahkan perkara tersebut menyebabkan pihak Kerajaan Negeri respons terhadap isu berkenaan.
“Datuk Hamidah juga jelas mengakui bahawa kami sentiasa memantau sebarang aktiviti dan juga perjalanan pembangunan pentadbiran negeri untuk kebaikan semua pihak bersama,” katanya.
Dr Raja Ahmad berkata Dewan Pemuda PAS Perak masih menanti keputusan akhir yang akan dibuat oleh Kerajaan Negeri berhubung penganjuran pertandingan itu dan mengharap ia tidak dianjurkan di negeri Perak.
“Kami menanti keputusan yang dinyatakan oleh Datuk Hamidah agar pihak Kerajaan Negeri tidak membenarkan aktiviti seumpama ini dan masih menunggu jawapan balas daripada pihak Pangkor Island Beach Resort sebagai penganjur pertandingan tersebut.
“Kami tegaskan akan sentiasa konsisten untuk menegur mana-mana pihak yang membabitkan kemungkaran dalam Negeri Perak,” katanya.