Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjadi tokoh paling kanan setakat ini menyatakan sokongan supaya parti itu menukar pemimpinnya.
Dalam ciapan di Twitter awal petang ini Hishammuddin berkata beliau sependapat dengan pendapat ahli dan rakyat bahawa Umno perlukan kepimpinan baru.
Bagaimanapun kata bekas menteri pertahanan itu proses berkenaan perlu berlangsung secara “tertib”.
“Saya bersetuju dengan pendapat ahli dan rakyat bahawa Umno memerlukan kepimpinan baru dan ianya harus dilakukan dengan tertib supaya maruah parti boleh dikembalikan dan dan prinsipnya dijunjung,” katanya.
Anggota parlimen Sembrong itu berkata, sementara proses berkenaan terlaksana anggota Umno diminta tidak bertindak dengan pengaruh emosi.
Menurut Hishammuddin perubahan itu perlu dilakukan demi masa depan serta kesatuan parti.
“Perkara ini telah pun saya sampaikan kepada setiap pucuk pimpinan termasuk sayap-sayap di dalam parti,” katanya.
BN hilang majoriti di parlimen ekoran kalah kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam PRU ke-14 yang berlangsung pada 9 Mei lalu.
Umno adalah parti teras dalam BN, diikuti MCA, MIC, Gerakan serta parti lain yang lebih kecil.
Untuk rekod presiden MCA, MIC dan Gerakan turut kalah kepada calon HARAPAN.
Bagaimanapun Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak terselamat di kerusi tradisinya, Pekan. – Mkini