Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) semalam membuka kertas siasatan bagi menyelesaikan isu empat pegawai Masjid Nur Hidayah, Kampung Pandan yang dipecat nazir.
Pegawai Perhubungan Awam Jais, Nor Hamizah Othman berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan dengan memanggil kedua-dua pihak iaitu empat pegawai yang dipecat dan nazir untuk mendengar kenyataan masing-masing bagi proses rundingan.
“Kami mahu isu ini diselesaikan secepat mungkin bagi memberi manfaat kepada nazir dan pegawai yang dipecat serta jemaah masjid,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata sebagai mengulas laporan sebuah akhbar semalam berkenaan empat pegawai Masjid Nur Hidayah Kampung Pandan mendakwa dipecat serta-merta oleh nazir masjid tanpa mengemukakan alasan munasabah. Mereka dipecat walaupun dilantik secara sah oleh Jais sejak 2009 termasuk dua imam masjid iaitu Kamalrozaman Ismail dan Muhamad Mustaqim Mustafa, bilal, Shahrul Naim Shaari serta Setiausaha masjid, Mazlan Meon. Berikutan pemecatan itu, mereka membuat laporan pada Jais dan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang bagi menyelesaikan isu itu.
Nor Hamizah berkata, pihaknya akan berhubung dengan pejabat agama Islam daerah bagi menyelesaikan masalah itu dan akan mengambil tindakan kepada pihak yang bersalah. “Empat pegawai masjid itu perlu menjalankan tugas selagi tiada surat hitam putih daripada Jais berkenaan pemecatan jawatan,” katanya.