Penduduk Kampung Baru, Kuala Lumpur merasa tertipu dengan janji Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Raja Nong Chik Zainal Abidin yang berkata akan meneruskan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Kampung Baru biar pun tanpa perundingan dengan penduduk.
Ketidakpuasan hati penduduk itu disuarakan oleh ahli parlimen Kubang Krian Salahudin Ayub yang dilantik oleh PAS mengambil alih perjuangan membela penduduk Kampung Baru selepas kematian ahli parlimen Titiwangsa Dr Lo’ Lo’ Hj Ghazali.
Salahudin menyatakan kekesalannya mengenai keengganan Raja Nong Chik mendengar keluhan penduduk yang tidak mahukan satu lagi perbadanan ditubuhkan hanya untuk merampas tanah mereka yang bernilai tinggi.
“Dalam sessi Parlimen akan datang rang Undang-Undang Kampung Baru akan dibacakan buat kali kedua selepas bacaan kali pertama pada tahun lalu yang dibantah oleh penduduk.
“Bacaan kali kedua ini ditangguhkan sebanyak 2 kali, sessi Mac dan Jun. Bermakna RUU ini tidak masak dan cacat. Kami katakan RUU ini sangat bertentangan dengan prinsip dan semangat penduduk Kampung Baru dan keluhan penduduk ini tidak dipandang serius oleh kerajaan,” katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, petang tadi. Turut serta dalam sidang media itu adalah anggota Sekretariat Pembangunan Kampung Baru dan juga barisan peguam penduduk dalam mengemukakan semakan semula rang undang-undang tersebut.
Salehudin membacakan kronologi RUU Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2010 yang dibantah oleh penduduk. Menurutnya, RUU itu telah disediakan sejak 2007 yang diusulkan melalui Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982.
Pada 1-4 Ogos 2010 perbicangan telah diadakan di hotel Renaissance Melaka melibatkan beberapa NGO memperhalusi draf RUU. Pada 14 Disember 2010 Menteri Wilayah Persekutuan Raja Nong Chik telah membentangkan RUU tersebut di parlimen tanpa merujuk kepada tuan tanah dan pewaris tanah Kg Baru. Sebelum itu, ahli parlimen Titiwangsa Dr Lo’ Lo’ telah menubuhkan Sekretariat Pembangunan Kampong Baru (SPKB). Hasil penerangan oleh SPKB pemilik dan pewaris tanah di Kg Baru membantah beberapa peruntukan RUU yang cuba memanipulasi mereka.
Ekoran bantahan itu kementerian menanguhkan bacaan kali kedua. Kementerian turun mengadakan perbincangan dengan beberapa NGO dan membuat cadangan pindaan dan berjanji akan mengadakan referendum bagi mendapatkan pandangan pemilik/pewaris tanah.
Pada jun 2011 borang referendum diedar tetapi hanya 30 peratus yang dikembalikan oleh penduduk.
“Banyak peruntukan RUU membelakangkan pemilik tanah dan pembentangan kali kedua ini dibuat tanpa persetujuan mereka. Manakala cadangan pindaan hanya dibuat pada peringkat jawatankuasa dan mengikut pengalaman kami di Parlimen, biasanya syor jawatankuasa ini akan dibuldoze oleh suara majoriti (BN) di Dewan Rakyat. Jadi tidak ada jaminan hak penduduk Kg Baru akan terjamin selepas pembentangan RUU yang diadakan pindaan ini
“Kami menuntut agar RUU ditarik balik dan pihak kementerian kembali berbincang secara serius dengan penduduk, khususnya SPKB yang mewakili majotiri penduduk Kampong Baru.
“Dalam pindaan juga kementerian bersetuju mengekalkan Lembaga Malay Aggricultural Settlement (MAS). Jadi untuk apa pula Perbadanan Pembangunan Kg Baru dibentuk jika MAS masih dikekalkan. Apa perlunya dua perbadanan untuk menjaga pembangunan Kg Baru,” kata Salahuddin.
Timbalan Pengerusi Sekretariat Pembangunan Kampung Bharu, Mohd Noor Hassan ,57, membantah sekeras-kerasnya RUU yang akan dibentangkan pada Oktober ini kerana sama sekali tidak memberikan keadilan kepada penduduk. RUU itu katanya tidak pernah dirujuk kepada pemilik tanah tetapi seolah-olah dipaksakan ke atas menerima semua yang dicadangkan kerajaan
“Sejak awal lagi RUU ini tidak ada ketelusan dari pihak kerajaan. Waktu RUU dikeluarkan satu bengkel dipanggil di Melaka bukan di Kg Baru. Kertas kerja dibahas dan dirumus oleh antaranya beberapa orang wakil penduduk tetapi tidak ada apa-apa berita mengenai cadangan yang dikeluarkan bengkel itu. Tiba-tiba RUU dibentang pada sesi pertama tanpa diumum apa-apa perubahan.
“Sekretariat mendapati ada beberapa kepincangan dalam RUU ini. Pertama, kuasa mutlak atas menteri; kedua, perbadanan jika ditubuh, ahlinya, AJKnya, pekerja tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah. Bermakna mereka ada kuasa mutlak ke atas penduduk Kg Baru dan boleh berbuat apa sahaja; ketiga, membubarkan MAS, mengapa MAS yang telah beroperasi dan mentadbir sejak sekian lama ingin dibubar. MAS boleh pertahankan tanah kami. Bila MAS batal mereka ada hak untuk ambil tanah menggunakan Kanun Tanah Negara, iaitu pengambilan secara rela dalam paksa. Kami menetang seratus-peratus RUU ini,” katanya.
Mohd Noor juga berkata Raja Nong Chik dalam pertemuan dengan pendduk Kg Baru mengesahkan RUU itu dibuat hasil permintaan penduduk Kg Baru sendiri. Bagaimanapun apabila disoal balas siapakah penduduk yang bersetuju itu, Nong Chik tidak menjawab.
“Kami Cabar Nong Chik bentangkan nama-nama penduduk yang setuju Kg Baru dibangunkan melalui RUU ini. Kerana bagi majoriti penduduk, memang tidak bersetuju dengan RUU yang dibentangkan ,” ujarnya.
Peguam yang mewakili penduduk Kg Baru Zulhazmi Sharif menjelaskan pindaan yang dibuat lebih berupa kosmetik dan dalam keadaan tertentu amat mengelirukan serta memperdaya penduduk. Beliau juga menyangkal bahawa penduduk bersetuju dengan RUU sepertimana dinyatakan oleh beberapa NGO yang didakwanya mempunyai kepentingan dalam pembangunan itu.
“Pindaan hanya dibuat selepas RUU dibacakan. Ia lebih bersifat kosmetik dan mengelirukan penduduk. Misalnya keanggotaan perbadanan. Asalnya pengerusi dilantik oleh menteri, Datuk Bandar, wakil kerajaan Selangor yang diperkenan sultan tetapi perlu dipersetujui menteri dan dua orang wakil dilantik dari kalangan tuan tanah.
“Selepas pindaan wakil dilantik oleh menteri dengan dipersetujui Perdana Menteri. Apa bezanya di sini? Lima orang waklil dari NGO menggantikan 2 orang wakil tuan tanah. Persoalannya, apa kena-mengena NGO dengan Kg Baru ini? Persatuan Pembangunan Kg Baru dan Persatuan Anak-Anak Kg Baru misalnya tidak mewakili majoriti suara penduduk Kg Baru,” katanya.
Zulhazmi juga mempertikaikan janji Nong Chik bahawa nasib RUU bergantung kepada referendum. Bagaimanapun, selepas penduduk Kg Baru mengembalikan referendum itu, Nong Chik tidak lagi memperkatakan mengenainya.
“Kata menteri RUU ini bergantung kepada referendum, sama ada penduduk setuju atau tidak. Sekarang kita tanya apa hasil referendum itu. Berapa ramai yang setuju atau tidak setuju?” tanyanya.
Menjawab soalan wartawan, Mohd Noor menegaskan waris dan pemilik tanah Kg Baru berjumlah 4,000 kesemuanya. Banyak yang tidak lagi menetap di kawasan tersebut. Dalam sessi penerangan hanya 500 yang hadir dan mengambil borang referendum. Jika dikira dari jumlah tersebut referendum tidak boleh diteruskan dan RUU tidak boleh diteruskan kerana mendapat sokongan yang sedikit dari waris dan pemilik tanah Kg Baru.
“Menteri kata 90 peratus setuju pembangunan Kampung Baru. Saya nak tanya dari mana dia dapat angka sebanyak itu?” soal Mohd Noor.