Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak walaupun bersikap terbuka atas kemasukan beramai-ramai terutamanya bekas para pemimpin dan pengikut UMNO ke dalam Pakatan Harapan (PH) namun menolak ahli parti itu yang bobrok dan tidak bermoral.
Demikian menurut Naib Pengerusi Amanah negeri itu Dr Muhaimin Sulam.
“Kemasukan sama ada melalui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Keadilan Rakyat dan Parti Amanah Negara jelas ketara selepas pelantikan YAB Ahmad Faizal Azamu sebagai Menteri Besar Negeri Perak.
“Kemasukan ini menambah parah UMNO yang baru kehilangan kuasa di Putrajaya dan di beberapa buah negeri. Ibarat kata pepatah Melayu lama: ‘sudah jatuh ditimpa tangga’. Kawan ketawa ramai, kawan menangis sendiri.
“Namun dalam masa yang sama, kemasukan beramai-ramai ini jangan sampai jadi seperti tikus membaiki labu.
“AMANAH adalah sebuah parti yang peduli tentang nasib rakyat jelata dari perangkap kemiskinan dan kemunduran. Jangan seorang kenyang, seribu kelaparan. Inilah yang berlaku pada pemimpin-pemimpin lepas yang mengaut kekayaan peribadi atas kemiskinan rakyat. PH tiada tempat pemimpin yang hanya mementing perut dan tembolok sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr Muhaimin mengingatkan saf kepimpinan teguran Allah kepada manusia agar tidak tersasar dalam perjalanan hidup.
“Ingatlah sepotong ayat al Quran yang bermaksud, “Mudah-mudahan Tuhanmu akan melimpahkan rahmat(Nya) kepadamu; dan sekiranya kamu kembali kepada (kedurhakaan) niscaya Kami kembali (mengazabmu) dan Kami jadikan neraka Jahannam penjara bagi orang-orang yang tidak beriman.” Surat Al-Isra’ Ayat 8.
“AMANAH bukan sekadar sebuah parti politik yang amanah, berintegriti tetapi adalah sebuah parti yang bangkit daripada sebuah kehancuran kepercayaan rakyat.
“Di samping itu, AMANAH Perak tetap mengambil sikap berhati-hati dan memberi amaran sebarang usaha mengkhianati perjuangan PH akan kami tentang habis-habisan,” katanya.