Akhirnya selepas 61 tahun merdeka dari pemerintahan kuasa Barat, rakyat berjaya memerdekakan negara bagi kali kedua dari BN dan penindasan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan sejak April 2015.
Namun bagi Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai rakyat tidak boleh mengharapkan perubahan sekelip mata, terutama dalam polisi percukaian. Katanya, rakyat harus bersabar kerana Tun Mahathir selaku Perdana Menteri Malaysia mempunyai tugas berat untuk meletakkan negara di atas landasan yang betul.
“Perjalanan masih jauh untuk membawa negara ke paras negara berjaya pada tahun 2020. Banyak yang perlu dilakukan dan diperbetulkan tetapi saya yakin bahawa Tun Mahathir mampu melakukan yang terbaik untuk Malaysia.
“Tahniah patut diucapkan kepada rakyat kerana berani mengubah kerajaan. 61 tahun adalah masa yang lama dan kini kita mesti mengejar masa untuk mencapai kemajuan kerana pada zaman pentadbiran Najib Razak kita telah undur ke belakang dalam banyak segi contohnya dalam isu ketelusan, kewibaan dan integriti
“Dalam isu yang lain pula, umpamanya hal GST ramai orang telah tanya saya bilakah ia akan dimansuhkan dan saya ingin menegaskan pemansuhannya akan mengikut undang-undang berperlembagaan sebuah negara demokrasi dan ia tidak boleh dimansuhkan dengan sewenang-wenangnya begitu sahaja.
“Harap semua orang boleh bersabar kerana Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah mengumumkan bahawa kita di Pakatan Harapan (PH) tidak akan lupakan janji kita kepada rakyat,” kata Chan kepada Suara pakatan daily.
Bagi Kasthuri Patto, Ahli Parlimen Batu Kawan dari DAP pula, BN tumbang kerana pemimpin-pemimpin BN tidak peka dan tidak prihatin kepada kesusahan hidup yang dialami oleh rakyat biasa setelah GST dilaksanakan.
“Apabila kos sara hidup meningkat dan menekan rakyat, para pemimpin BN buat tidak tahu atau memberi cadangan yang bodoh kepada rakyat untuk mengatasi masalah kos sara hidup.
“Keangkuhan pemimpin BN adalah punca kekalahan mereka. Sekarang langit telah cerah kembali kerana awan gelap tiada lagi dan saya berharap bahawa mulai 9 Mei 2018, rakyat dan negara akan mengorak langkah untuk maju kedepan supaya impian Wawasan 2020 akan dicapai nanti,” tambah beliau.