Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan umum pertamanya sebaik dibebaskan mengingatkan rakyat agar terus memantau wakil rakyat yang dipilih.
“Terus pantau pastikan wakil rakyat kita. Bukan untuk kita takbur. Jangan sombong. Kita perlu berjuang dengan ikhlas. Pegang amanah dan jangan cuai.
“Kalau nampak lebih gaya, menang nikah satu lagi, tukar kereta, beli apartment baru, dan kalau kita dapat tahu, kita lesing,” katanya di hadapan ribuan hadirin yang hadir Himpunan Merdeka Rakyat di Padang Timur, Petaling Jaya malam ini.
Anwar juga mengingatkan pemimpin yang dilantik sebagai menteri kabinet perlu diberi ruang untuk menjalankan tugas mereka.
“Tapi kalau ada kekurangan tegur mereka. Kalau mereka mewah lebih-lebih, kita terajang mereka.
“Tapi bukan Tun M, yang lain,” katanya berjenaka.
Terdahulu, Anwar disambut dengan tepukan dan sorakan gemuruh ribuan yang hadir meraikan pembebasan tokoh gerakan reformasi itu. Turut hadir adalah pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN).
Selepas menjalani lebih tiga tahun hukuman penjara atas sabitan kesalahan liwat, Anwar hari ini dibebaskan setelah mendapat pengampunan diraja. – Mkini