Kebangkitan rakyat Mesir untuk mengulingkan rejim Mubarak masuk minggu ketiga. Semalam bermula fasa baru yang lebih menekan Presiden Hosni Mubarak. Jika sejak dua minggu lalu hanya pemuda, pelajar dan rakyat biasa yang menunjuk perasaan setiap hari, kini kakitangan awam pula melancarkan mogok. Mereka tidak memperdulikan janji kenaikan gaji sebanyak 15 peratus yang diumumkan Mubarak empat hari lalu.
Mogok kakitangan awam akan melumpuhkan Mesir yang telah sedia tergugat ekonominya berikutan tunjuk perasaan dan sekatan internet oleh kerajaan. Namun Mubarak masih gagah berkuasa kerana sekutu kuatnya Amerika Syarikat (A.S) masih mendukung beliau dan cuba mencari jalan selamat agar diktator berumur 82 tahun itu berundur secara baik dan penggantinya yang pro-A.S dan Israel mengambil alih.
A.S bimbang sekiranya Mubarak meletak jawatan segera atau pilihan raya mengejut diadakan maka parti-parti Islam seperti Ikhwanul Muslimin dan lain-lain akan mengambil-alih kuasa. Parti Islam tentu tidak lagi akan menjadi sekutu Israel sebagaimana rejim Mubarak.
“Pada pilihanraya umum Mesir tahun 2007 Ikhwanul Muslimin berjaya mendapat 20 peratus undi. Tinjauan yang dibuat oleh satu stesen televisyen (tahun lalu) pula mendapati 65 peratus rakyat Mesir mahukan Islam dilibatkan dalam pentadbiran kerajaan,” ujar Profesor Datuk Dr Ridzuan Othman dari fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya dalam satu program wawancara di sebuah stesen televisyen baru-baru ini
Pilihan raya 2007 menyaksikan pemimpin-pemimpin Ikhwanul Muslimin yang diharamkan bertanding atas tiket Bebas atau pun parti-parti pembangkang. Di kawasan kubu kuat Ikhwan rejim Mubarak menyekat pengundi dari keluar mengundi. Banyak dewan mengundi yang dikunci pintu pagarnya sehingga pengundi terpaksa menceroboh masuk dengan memanjat pagar untuk membuang undi. Dalam keadaan sebegitu pun Ikhwan masih berjaya memperolehi undi yang banyak. Tentunya jika pilihanraya bebas diadakan parti tersebut bersama beberapa parti Islam lain akan mendapat suara majoriti.
Sekiranya Ikhwan membentuk kerajaan baru Mesir maka bantuan ekonomi yang diberi oleh A.S 1.3 bilion dollar setahun selama ini akan menjadi sia-sia. Usaha sejak zaman penjajah dan kemudian perisikan British mengkambing hitamkan Ikhwan sebagai perancang pembunuhan Presiden Gamal Nasser pada 1970an sehingga mengharamkan parti itu juga sia-sia. Mesir dalam tangan Ikhwan tidak lagi akan menyekat pintu sempadannya di Rafah dan membenarkan bekalan makanan serta senjata masuk ke wilayah Palestin yang dikepung Israel. Ini tentunya akan menjadi mimpi ngeri kepada Washington dan Tel Aviv.
Tokoh baru wujud, seperti bekas Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, Muhammad El Baradei. Bagaimanapun El Baradei tidak popular di kalangan rakyat dan banyak menghabiskan kehidupannya di luar Negara.
“Baradei datang apabila rakyat telah bangkit. Beliau cuba mengambil kesempatan. Tetapi rakyat mahukan pemimpin yang telah bersama mereka. Baradei sama seperti Hamid Karzai di Afghanistan. Beliau disenangi Barat,” kata Riduan.
Apa pun, kebangkitan rakyat yang tidak menunjukkan tanda-tanda kendur tidak memberikan banyak pilihan kepada A.S, Israel mahupun Mubarak. Perlantikan Omar Suleiman, bekas Ketua Perisikan Mesir menjadi Naib Presiden tidak mampu mengubah apa-apa kerana beliau dilihat rapat dengan Israel dan tidak disenangi rakyat.
“Pada waktu ini orang Mesir tidak takut untuk bangkit. Polis tidak punya taring lagi. Kebangkitan sukar dipadam. Rakyat Mesir mahukan perubahan segera,” jelas Prof Riduan.
Atau seperti kata seorang penunjuk perasaan Mesir yang dipetik stesen televisyen Barat menyambut perletakkan jawatan anak Mubarak, Gamal, dari parti pemerintah lima hari lepas : “Apa guna pemimpin lain meletak jawatan, Mubarak tidak meletak jawatan dan boleh menubuhkan parti baru. Kami sudah 30 tahun hidup begini dan kami akan mati begini.”
Rakyat yang tidak takut mati adalah isyarat penting rejim kuku besi akan berkahir. Di Romania, Filipina, Indonesia, Thailand dan banyak tempat diktator tumbang apabila tubuh rakyat menjadi benteng berhadapan dengan senjata para askar.
Di Mesir, di Dataran Tahrir, setiap malam penunjuk perasaan tidur di bawah kereta kebal menjadi benteng manusia agar khemah penunjuk perasaan yang dibina di tengah dataran itu tidak digempur askar. Begitu juga di dua lagi bandar besar Iskandariah dan Port Said, tunjuk perasaan telah berlaku setiap hari sejak empat hari lalu
Hari ini penganjur tunjuk perasaan akan mengumpulkan jutaan rakyat bagi perhimpunan besar-besaran di Kaherah mengulingkan Mubarak. Hanya masa akan menentukan rejim Mubarak berakhir secara mudah atau dengan pertumpahan darah.