Datuk Seri Najib Razak diarah hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Kuala Lumpur pada Selasa depan untuk diambil keteranngannya, kata sumber hari ini.
Katanya, notis arahan itu disampaikan beberapa pegawai Bahagian Operasi Khas SPRM Putrajaya kepada bekas perdana menteri itu di Kuala Lumpur hari ini.
Katanya perintah itu dibuat mengikut Seksyen 30 Akta SPRM 2009.
“Najib dikehendaki untuk hadir di Ibu Pejabat SPRM Kuala Lumpur pada Selasa depan,” katanya.
Menurut sumber terbabit keterangan Najib diperlukan bagi membolehkan SPRM meneruskan siasatan berhubung skandal anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.
Siasatan SPRM ke atas syarikat itu sebelum ini pernah menyaksikan beberapa pegawai kanan agensi antirasuah berkenaan dipindahkan, selain mendorong yang lain bersara awal.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan lapan anggota SPRM tiba di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur kira-kira jam 4 petang.
Sesetengah mereka dilihat memakai jaket berwarna hitam sambil membawa briefcase.
Mereka beredar dari kediaman anggota parlimen pembangkang dari Pekan itu kira-kira dua jam kemudian.
Semalam polis merampas wang tunai, barangan kemas dan beg tangan berjenama mewah dari sebuah kondominium dikaitkan dengan Najib.
Bloomberg melaporkan bahawa SPRM sedang menyiasat dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh bekas perdana menteri itu. – Mkini