Utusan Malaysia mungkin tidak mampu bertahan melepasi tahun ini, apabila kakitangan diberitahu akhbar berkaitan Umno itu akan kehabisan dana seawal selepas sambutan Hari Raya bulan depan, ketika akhbar itu bersusah payah ekoran kekalahan Barisan Nasional baru-baru ini, FMT difahamkan.
Satu sumber mengatakan pengurusan tertinggi Kumpulan Utusan Melayu, syarikat yang menerbitkan akhbar itu, bertemu kakitangan pada Rabu, untuk memaklumkan penstrukturan semula secara besar-besaran sedang dirancang sebagai sebahagian daripada strategi untuk berdepan cabaran akan datang.
“Penstrukturan semula akan menjadi sangat rumit, dan mungkin beberapa tindakan perlu diambil,” kata sumber itu.
Walaupun jumlah pembaca menurun, akhbar bahasa Melayu itu masih bertahan menerusi kontrak kerajaan, yang diperoleh menerusi hubungannya dengan Umno.
Pada tahun lepas sahaja, dilaporkan syarikat itu diberi kontrak membekalkan lebih 180,000 peranti tablet kepada guru seluruh negara. Beberapa minggu sebelum pillihan raya 9 Mei, Utusan juga yang diberi tugas mencetak poster kempen untuk BN.
“Kakitangan diberitahu, tempoh paling lama ia boleh bertahan adalah sehingga akhir tahun ini,” kata sumber itu.
Penstrukturan semula akhbar itu disebabkan oleh rombakan aset Umno yang sedang dirancang, termasuklah syarikat media yang sekian lama memainkan peranan sebagai alat propagandanya, kata sumber itu.
“Semuanya akan diketahui apabila perhimpunan agung Umno bersidang,” kata sumber itu, dan menambah, perhimpunan mungkin diadakan lebih awal daripada biasa memandangkan parti itu berdepan tekanan berhubung keesahannya di bawah kerajaan baru.
Seramai 16 bekas ahli Umno merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menggugurkan usaha untuk mengisytiharkan parti itu tidak sah. Mereka berkata parti itu melanggar perlembagaannya kerana tidak mengadakan pemilihan dalam tempoh masa sepatutnya, kesalahan yang menyaksikan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mengenakan penggantungan sementara ke atas PPBM beberapa minggu sebelum hari mengundi.
Sementara itu, sumber berkata ramai kakitangan Utusan sudah mula mencari pekerjaan di syarikat media lain, dan ada juga yang mungkin meninggalkan bidang kewartawanan kerana situasi industri yang tidak menentu sejak beberapa tahun ini.
Minggu lepas, ahli kesatuan pekerja bertemu pengurusan tertinggi Utusan, ketika tekanan semakin mendesak syarikat untuk menyingkirkan pemegang saham daripada Umno.
Syarikat media berkaitan Umno yang lain, termasuk New Straits Times Press, juga sedang membuat penyesuaian kepada landskap politik baru yang perlahan-lahan dibentuk bawah pentadbiran Pakatan Harapan.
NSTP yang menerbitkan New Straits Times suatu ketika pro-Umno dan 2 akhbar lain, menggesa kakitangan membuat penyesuaian dari segi editorial kepada iklim politik baru, mengatakan mereka kini akan cuba kekal neutral dalam liputannya. – FMT