DAP Selangor mendesak kepimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) berunding dengan parti komponen mengenai pelantikan menteri besar Selangor yang baru.
Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha DAP Selangor Ean Yong Hian Wah berkata calon untuk jawatan itu perlu melalui proses pemilihan yang ketat.
“Calon mesti memenuhi syarat (tertentu) dan menerima sokongan parti komponen,” katanya.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini memberi perkenan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menerima jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan melepaskan kedudukannya sebagai menteri besar.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata Azmin bagaimanapun akan kekal memegang jawatan itu sehingga peralihan kuasa kepada menteri besar baru dapat dijalankan secara lancar dan teratur.
Mohamad Munir juga berkata Azmin perlu mengemukakan senarai calon penggantinya untuk diteliti Sultan Sharafuddin
Ean Yong yang merupakan exco di bawah pentadbiran Azmin sebelum ini, berkata menteri besar yang baru kelak mesti menegakkan dasar dan matlamat HARAPAN untuk memastikan Selangor sebuah model bagi negeri-negeri di Malaysia.
Beliau menambah menteri besar Selangor yang bakal dipilih kelak mempunyai tanggungjawab yang besar untuk dipikul. – Mkini