Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan gaji jemaah menteri akan dipotong sebanyak sepuluh peratus.
Beliau berkata ia bagi menunjukkan keprihatinan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) terhadap masalah kewangan kerajaan.
“Jemaah menteri setuju supaya gaji menteri dipotong 10 peratus…(Potongan) ini berdasarkan gaji asas,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat kabinet di Putrajaya pagi ini.
Beliau berkata sesetengah pegawai kerajaan kini mendapat gaji lebih tinggi daripada menteri kabinet.
Namun, katanya lagi, kabinet tidak bercadang untuk menaikkan gaji anggotanya.
“Ini tabiat saya. Ketika pertama kali menjadi perdana menteri (pada 1981), perkara pertama yang saya buat adalah potong gaji menteri dan pegawai kanan kerajaan,” katanya lagi. – Mkini