Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan pembubaran lima agensi dan jawatankuasa kerajaan – Majlis Profesor Negara (MPN), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKK), Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (PEMANDU), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Beliau membuat pengumuman itu semasa sidang akhbar mesyuarat pertama Kabinet yang baru hari ini, di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Dalam kes JKKK yang dilantik oleh kerajaan persekutuan, perdana menteri berkata jawatankuasa berkenaan menjadi terlalu berunsur politk sedangkan peranannya dapat dilaksanakan oleh pegawai kerajaan lain.
Sementara itu, peranan SPAD akan dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan.
Dalam pada itu, Mahathir berkata, proses penamatan penjawat awam lantikan kontrak yang berkaitan politik akan diteruskan namun kerajaan akan mengambil kira golongan yang berpendapatan rendah. – Mkini