Malaysia sering mahu dikenali negara Islam terbaik namun tidak mempunyai dasar yang sesuai dalam sukan. Perkara ini ditegur oleh Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Salman Haji Saleh dalam isu Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Liga Siri Super Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) 2011 yang mana kemenangan pasukan sepaktakraw Perak dibatalkan kerana tekongnya memakai pakaian menutup aurat.
“Dalam pertandingan sepaktakraw baru-baru ini, bekas tekong Pasukan Kebangsaan Sukan Asia Busan 2002, Mohd Fauzi Ghadzali yang kini mewakili pasukan Negeri Perak memakai seluar panjang ‘Sut Trek’ dalam pertandingan tersebut.
“Akibatnya, pengadil perlawanan telah membatalkan kemenangan Pasukan Perak dan Fauzi dikenakan kad merah serta dibuang daripada kejohanan. Ini merupakan perkara yang amat mendukacitakan.
“Kami merasa kesal dengan apa yang berlaku dan membantah bentuk tindakan yang sebenarnya secara tidak langsung merendahkan martabat Islam yang mengarahkan umatnya ‘menutup aurat’. Yang keduanya kami simpati terhadap Fauzi kerana memakai seluar panjang ‘Sut Trek’ yang sebenarnya telah mengguris hati dan perasaan umat Islam secara tidak langsung. Justeru, kami meminta semua pihak yang sensitif terhadap hukuman ini membuat bantahan kepada PSM dengan segera,” katanya.