Selepas kira-kira dua minggu berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PKR Kelantan menerima permohonan keahlian secara drastik, kata salah seorang pemimpin parti itu hari ini.
Menurut Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, Mohd Sukirman Mustafa peningkatan secara mendadak itu bertitik tolak dengan kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) di peringkat kebangsaan walaupun mereka gagal meraih sebarang kerusi di Kelantan.
“Setakat ini PKR menerima permohonan keanggotaan sekitar 300 hingga 500 orang di setiap cabang.
“Kami mempunyai 14 cabang di kelantan dan permohanan menjadi anggota baru ini juga berlaku di seluruh negara.
“Ibu Pejabat PKR memaklumkan kini sudah hampir 10,000 borang permohonan diagih ke seluruh negara, ” katanya kepada Malaysiakini di Kota Bharu, hari ini.
Dalam PRU14 yang diadakan pada 9 Mei lalu itu, HARAPAN – yang bertanding menggunakan logo PKR – berjaya memenangi i 122 kerusi Dewan Rakyat sekali gus berjaya membentuk kerajaan persekutuan dengan menyingkirkan penguasaan 61 tahun BN.
Bagaimanapun, Mohd Sukirman berpendapat, faktor penggunaan satu logo itu tidak terlalu mempengaruhi penyertaan ahli baru parti itu.
Sebaliknya tambah beliau, faktor utama yang menarik minat ramai ialah pembebasan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui pengampunan diraja, baru-baru ini.
“Beliau bebas dan boleh terus aktif berpolitik tanpa sekatan. Ini mendorong mereka yang menyokong kepimpinan beliau untuk tampil bersama dengan parti,” katanya.
Untuk rekod, PKR Kelantan mempunyai 28,000 ahli berdaftar setakat Mac 2018.
“Dan permohonan keanggotaan baru ini datang dari mereka yang tidak berparti dan golongan mahasiswa. Pun begitu ada juga permohonan dari ahli Umno yang ingin berhijrah.
“Tetapi kita terikat dengan arahan dari Pengerusi HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak mahu menerima kemasukan ahli Umno ke dalam parti (buat masa ini),” kata Mohd Sukirman. – Mkini