Urusan dengan istana Kelantan sudah selesai tetapi warga Internet masih mempertikaikan penggunaan jet rasmi kerajaan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan keluarganya malam tadi.
Anak sulungnya, Nurul Izzah turut berdepan soalan sama di Twitter.
Bagaimanapun, kata Nurul, urusan keluarganya malam tadi adalah urusan rasmi.
Undangan itu juga, kata naib presiden PKR, adalah untuk Azizah sekeluarga.
“Jemputan rasmi, yang juga menjemput @drwanazizah (Azizah) sekeluarga,” katanya.
Nurul juga menegaskan “sikap pimpinan lama tidak akan berulang, menggunakan jet untuk bercuti dan keperluan peribadi”.
“Terima kasih atas ingatan, kita sudah tentu tidak boleh kompromi,” katanya menjawab soalan @TheDukeofKL.
Pengguna Twitter itu bertanya sama ada pertemuan semalam adalah urusan rasmi dan “kenapa anak beranaknya ikut sekali dalam pertemuan ini?”
“Mohon penjelasan! Kita tidak mahu sikap Najib Razak berulang sekali lagi dalam pentadbiran baru ini.”
Azizah, suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga semalam tiba di Kelantan dengan jet kerajaan bagi mengadap bonda Yang di-Pertuan Agong Tengku Anis Tengku Abdul Hamid di Kota Bharu.
Malaysiakini difahamkan kunjungan itu juga bagi mempersembahkan ucapan terima kasih Anwar kepada Istana Kelantan susulan pengampunan diraja yang diperkenan oleh Sultan Muhammad V.
Azizah juga dalam Instagram beliau berkata ia adalah urusan rasmi.
Azizah turut memuat naik gambar beliau dan keluarganya bergambar dalam pesawat itu, termasuk bersama kru penerbangan.
Tidak jelas sama ada Nurul Izzah turut sama dalam penerbangan itu.
Anwar hari ini memuat naik gambarnya menaiki penerbangan komersil biasa untuk ke Pulau Pinang kerana ia urusan peribadi. – Mkini