Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu konflik pelantikan Menteri Besar Perlis yang berlarutan panjang diselesaikan dengan sebaik mungkin.
Beliau berkata, sebarang perkara yang boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat hendaklah dielakkan.
“Isu pelantikan menteri besar dianggap selesai kalau mendapat majoriti Adun, tapi itu dari segi perlembagaan.
“Sebarang pertikaian mengenai perkara itu hendaklah dikemukakan dengan bukti dan alasan-alasan yang munasabah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan tazkirah ringkas dan solat Jumaat di Masjid Cherok To’kun, semalam
Menurutnya, tindakan sembilan Adun BN yang memboikot majlis istiadat dan pelantikan jawatan menteri besar juga tidak wajar dicontohi.
“Sebaiknya kita cari jalan penyelesaian yang terbaik. Kita bimbang boikot itu boleh menimbulkan ketegangan yang lain pula. Kalau boleh elak, kita elak,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan perlu diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Perlis, beliau menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Konflik lantikan Menteri Besar Perlis pada awalnya dianggap selesai apabila Datuk Seri Azlan Man mengangkat sumpah jawatan itu di Istana Arau, semalam.
Namun, Pengerusi BN, Datuk Seri Shahidan Kassim membuat sidang media di Kuala Lumpur mengumumkan pemecatan Azlan daripada Umno dan BN berkuat kuasa serta merta.
Perkara itu secara tidak langsung menunjukkan kemelut lantikan menteri besar Perlis masih belum menemui titik noktahnya.