Kemenangan bergaya Pas di Pantai Timur, khususnya Kelantan dan Terengganu didakwa berlaku akibat ‘bantuan’ Pakatan Harapan (PH) yang meletak calon di setiap kerusi Parlimen dan DUN sehingga undi Melayu pecah 3 dan BN kalah.
Menurut seorang veteran Pas, andainya PH tidak bertanding, banyak kerusi akan dimenangi BN dan Pas hanya mungkin membuat kerajaan campuran atau pun gagal mendapatkan Terengganu.
Oleh itu, beliau menyarankan Pas ‘berterima kasih’ kepada PH dan bukannya menjadi pembangkang tegar dan menghentam PH sebagaimana berlaku hari ini.
“Sebaik-baiknya Pas ucapkan terima kasih kepada Pakatan Harapan kerana terjadinya pertandingan 3 penjuru di Pantai Timur.
“Pertandingan seumpama itu sangat menguntungkan Pas yang berjaya meraih undi terbanyak dan memenangi banyak kerusi sehingga berjaya mengekalkan Kelantan dan merampas kembali Terengganu,” katanya dengan syarat namanya tidak disiarkan.
Veteran Pas yang rapat dengan beberapa pemimpin Pas era 1990an itu menganggap kemenangan kali ini turut dibantu oleh feel good factor yang dibayangkan Pas kononnya hubungan parti itu dan BN tidak bermasalah. Maka rakyat di kedua-dua negeri berkenaan yakin akan mudah mendapat bantuan kewangan BN sekiranya Pas mentadbir Kelantan dan Terengganu.
“Di Terengganu dan Kelantan sangat jelas penerimaan gagasan baru Pas dan dasar diperbaharui mesra BN. Manakala pengundi difatwakan dengan fatwa-fatwa yang berat seperti haram mengundi PH kerana adanya DAP dan DAP musuh Islam
“Maka berduyun-duyun pengundi memangkah Pas. Sedangkan BN terpedaya dengan kajian-kajian yang menyakinkan gabungan itu mampu bertahan di Terengganu serta merampas Kelantan,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Beliau yang juga penganalisis politik Pantai Timur berpendapat, bekas PM Najib Razak terpedaya dengan teori ‘pertolongan’ Pas secara meletakkan calon di kebanyakan kerusi yang ditandingi PH akan menyebabkan gabungan diterajui Tun Mahathir tersebut akan kalah teruk.
“Teori-teori sebelum PRU14 bahawa apabila berlaku pertandingan 3 penjuru maka undi akan berpecah kepada 3
“Oleh yang demikian Najib diyakinkan oleh para penasihatnya bahawa BN bakal menang 2/3 kerusi parlimen.
“Malangnya teori itu tidak menjadi. Malah tindakan Pas bertanding di kebanyakan kerusi DUN dan parlimen di Pantai Barat memudahkan pengundi menolak dasar Pas yang dilihat mesra BN
“Pas di Pantai Barat hanya mengumpul undi teras mereka sebagaimana sebelum arus Reformasi 1998. Akibatnya mereka kalah di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor. Kekalahan ini menyumbang kepada tumbangnya BN yang amat yakin mempertahankan kubu-kubu kuat mereka,” kata veteran Pas itu lagi.