CATATAN HUJUNG: Orang Pas tanya saya mana agenda Islam dalam manifesto PH? Yang tanya ni pensyarah universiti ada Phd. Saya tanya dia balik sila buktikan di mana dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) yang tidak Islamik atau menentang Islam.
Apakah menentang penyelewengan ekonomi itu bukan tuntutan Islam? Apakah membela rakyat yang dibebani hutang itu tidak disuruh oleh Islam?
Apakah menghapuskan cukai GST yang menindas kehidupan rakyat menyalahi Islam? Apakah menentang rasuah, penyalahgunaan kuasa dan institusi awam itu tidak dituntut oleh Islam?
Islam Pas hanya terletak pada nama partinya saja. Islam Pas hanya hudud saja. Islam Pas hanya kafir, halal, haram dan lawan DAP saja.
Saya tanya beliau lagi apakah undang-undang jalan raya, speed limit, berat muatan dan pakai tali keledar yang bertujuan menyelamatkan nyawa bukan Islamik?
Apakah berpuluh undang-undang untuk melindungi harta awam, harta negara dan rakyat tidak Islamik? Apakah undang-undang rasuah itu bercanggah dengan Islam?
Semua undang-undang bertujuan baik, untuk kebaikan rakyat dan negara, cuma perlaksanaannya barangkali tempang dan perlu dipinda untuk lebih adil.
Inilah puncanya apabila orang Islam melihat Islam dari sudut politik sempit, sedangkan Islam itu panduan hidup yang syumul, lengkap dan inklusif.