Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan dapat menunaikan janji Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf 2.0) untuk diberikan 20,000 lot tanah Felda seluas dua hektar kepada kaum India di negara ini, kata Mazlan Aliman.
Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak) itu berkata, kerajaan Pakatan Harapan tidak berhasrat membuka Felda baharu sebab ketiadaan tanah.
“Pada ketika ini kerajaan tidak berhasrat untuk membuka Felda baharu atas sebab ketiadaan tanah yang luas.
“Maka isu kuota untuk dibuka kepada kaum lain tidak berbangkit lagi,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.
Beliau diminta mengulas tuntuan Hindraf menerusi Ketua Umumnya P Uthayakumar yang menuntut 20,000 lot tanah seperti Felda seluas dua hektar setiap satu lot yang ditanam sawit dan ternakan lembu liar, peluang skim pemilikan tanah dilengkapi rumah serta kemudahan asas.
Pertubuhan tersebut telah menyerahkan memorandum mengandungi 25 tuntutan lain kepada kerajaan menerusi Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham semalam.
Memorandum itu diterima Sekretariat Majlis Penasihat Kerajaan, Zawiyah Mohd Yusof.
Sebagai rekod Skim Felda diawal perancangan penubuhannya pada 1960-an tidak dikhaskan untuk orang Melayu luar bandar yang miskin. Bahkan beberapa buah Felda terawal seperti Felda LBJ dan Felda Lurah Bilut telah menerima peneroka daripada pelbagai kaum seperti kaum India dan Cina.
Begitu juga Felda di Sabah dan Sarawak yang mana peneroka terdiri dari pelbagai kaum dan keturunan yang membentuk sebilangan besar penduduk Malaysia
Kerajaan di bawah pemerintahan BN telah membuat keputusan tidak lagi melaksanakan pengambilan peneroka baharu mulai 1 Januari 1990 di semua tanah rancangan seluruh negara.
Keputusan kerajaan ketika itu adalah berdasarkan sumber kewangan yang terhad untuk membiayai projek pembangunan dan infrastruktur di tanah rancangan. – MD