Selepas memperbaharui aduan kepada polis di beberapa negara berkenaan skandal 1MDB, Datuk Khairuddin Abu Hassan bertemu pegawai Interpol di Lyon, Perancis untuk membuat permintaan rasmi bagi menjejaki Low Taek Jho, ahli perniagaan kontroversi yang dituduh menggelapkan berbilion dolar daripada syariakt bermasalah itu.
Khairuddin bersama peguamnya Matthias Chang pernah ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) atau Sosma kerana laporannya mengenai 1MDB kepada pihak berkuasa asing. Beliau berkata satu perbincangan panjang lebar diadakan dengan Interpol Bahagian Hal Ehwal Perundangan untuk meletakkan Low dan seorang lagi pegawai penting yang dikaitkan dengan 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil bawah pengawasan “red alert”.
“Kita tahu di mana mereka berada,” katanya dalam kenyataan kepada FMT tidak lama selepas meninggalkan bangunan Interpol.
“Jho Low terutamanya mesti bertanggungjawab atas segala pengkhianatannya dalam menyelewengkan puluhan bilion dana kerajaan serta duit rakyat dalam kes skandal 1MDB,” katanya, merujuk kepada Low.
Khairuddin berkata dia berasa bertanggungjawab untuk menjejaki “semua pengkhianat negara”, dan menambah dia cuba membantu kerajaan Pakatan Harapan mengakhiri episod 1MDB ini.
Jho Low dikaitkan kepada pelaburan 1MDD yang mengecewakan dengan sebuah syarikat Timur Tengah. Dia dinamakan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dalam tindakan undang-undang sivil yang mahu menyita kira-kira AS$1 bilion aset termasuk kapal mewah Equanimity, pesawat jet peribadi, hotel dan barangan mewah.
Nik Faisal, bekas pengarah urusan SRC International dan bekas pegawai pelaburan 1MDB, antara puluhan bekas pegawai kerajaan dan watak penting di syarikat milik kerajaan itu yang disenarai hitamkan sejak Pakatan Harapan menang pilihan raya umum 9 Mei lepas.
Bulan lepas, Khairuddin membuat laporan polis baru tentang 1MDB. Di Australia, dia membuat laporan terhadap Kumpulan Perbankan Australia dan New Zealand (ANZ) kerana membenarkan sebahagian daripada AS%700 juta daripada akaun peribadi Najib dipindahkan ke Singapura.
Di Switzerland, Khairuddin membuat laporan polis kepada peguam negara Swiss di Bern. Pada Mei, dia memperbaharui laporannya kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di New York.
Khairuddin dituduh mensabotaj ekonomi Malaysia kerana membuat laporan mengenai 1MDB di Paris, London, Bern, Hong Kong dan Singapura. Dia dibebaskan dari pertuduhan itu tahun lepas. – FMT