Keputusan untuk tidak menggunakan politik perkauman banyak membantu Pakatan Harapan (PH) menang 26 kerusi Parlimen di Malaysia timur, kata pakar politik pada satu forum malam tadi.
Helen Ting dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata penyelidik tidak mengambil kira peralihan pengundi daripada Barisan Nasional di Sabah dan Sarawak.
“Perubahan yang tidak disangka ialah Malaysia timur kerana perhatian diberikan di sana sangat sedikit. PH ingatkan ia kalah di sana.
“Harapannya ialah kekuatan PH di semenanjung akan melakukan perubahan.
“Perkara paling penting tentang PH dalam kempennya ialah mereka melangkaui politik kaum dan fokus pada isu harian, Najib Razak dan rasuah. Mereka melakukannya dengan penuh skil,” kata Ting pada forum “Harapan, Realiti dan Masa Depan. Refleksi Kristian Pasca PRU14” di Petaling Jaya, malam tadi.
Speaker lain ialah Pengarah Pusat Penyelidikan Katolik Kuala Lumpur Rev Fr Clarence Devadass dan exco Kairos Dialogue Network Eugene Yapp.
Warisan dan PH menang 14 kerusi di Sabah, berbanding tiga sebelumnya, sementara Sarawak menyaksikan kerusi pembangkang berganda dua daripada enam kepada 12.
Ting berkata sementara sesetengah pengundi masih percaya tidak akan ada lagi politik kaum atau perpecahan susulan pilihan raya 9 Mei, “dasar kaum yang memecahkan” membangkitkan kumpulan berkepentingan.
“Mereka akan mempertahankan status quo,” katanya.
Sementara itu, Yapp berkata PH terutama DAP tidak sepatutnya memandang rendah terhadap PAS.
Parti Islam itu menang 18 kerusi, kurang daripada 21 ketika PRU13. Parti itu juga kekal di Kelantan dan memenangi Terengganu pada PRU14.
“Ahli politik DAP kata penurunan jumlah kerusi kerana mereka sudah lemah. Tetapi kali ini, PAS bersendirian. Itulah realitinya,” kata Yapp.
PAS enggan menyertai PH dan membentuk gabungan longgar dipanggil Gagasan Sejahtera, satu pakatan tidak formal beberapa parti politik Islam yang mempromosikan “idea keamanan” di Malaysia.
“PAS menunjukkan imej tertentu bahawa Islam Umno tidak suci lagi. Dan ada banyak rasuah. Bagi Islam dalam Amanah pula, mereka berkongsi kuasa dengan kafir.
“Jadi versi Islam PAS yang paling suci, ditambah pula pemimpin Amanah banyak dilihat sebagai terlalu liberal.
“Sudah tentu undi untuk DAP tidak mungkin. Jadi tidak susah untuk dibayangkan mengapa pengundi di Terengganu atau Kelantan akan undi PAS,” kata Yapp.