Hanya beberapa janji manifesto Pakatan Harapan (PH) boleh dilaksanakan dalam tempoh 100 hari, seperti penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), skim KWSP suri rumah, subsidi ke atas petrol dan diesel dan beberapa yang lain.
Menurut Menteri Kesihatan yang juga pengarah Strategi Parti Amanah Negara, Dr Dzulkifly Ahmad, sekiranya BN meninggalkan negara dalam keadaan kewangan yang sihat, kesemua janji 100 hari boleh dilaksanakan. Namun, katanya, kerana kekangan kewangan maka janji itu akan mengambil masa yang lebih lama sebelum ditunaikan.
“Masalah kewangan yang diwarisi oleh Kerajaan Pakatan adalah disebabkan pentadbiran Kerajaan BN di bawah mantan Perdana Menteri, Najib Razak.
“Beliau telah menghadiahkan satu krisis kewangan yang amat teruk kepada rakyat Malaysia dan oleh kerana itu janji-janji yang tertera dalam manifesto PH tidak boleh dilaksanakan secara serta-merta,” ujarnya kepada Suara pakatan daily.
Mengulas isu sama, Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang berkata, keadaan kewangan yang amat teruk benar-benar menjejaskan usaha PH untuk memberi manfaat yang lebih banyak kepada rakyat.
“Perlaksanaan subsidi minyak yang lebih besar terpaksa ditunda,” katanya.
Selain itu, Chang menempelak Najib kerana mempersalahkan PH tidak menunaikan janji 100 hari sedangkan beliau adalah penyebab kewangan negara hampir muflis.
“Najib mengambil kesempatan kata Pakatan gagal dan untuk menutupi kegagalan itu beliau (Najib) telah dituduh.
“Kalau bukan kerana perbuatan Najib yang tidak bertanggungjawab dan tidak berhemah serta kegagalan 1MDB, situasi hutang hari ini tidak akan berlaku.
“Justeru, Najiblah yang harus dipersalahkan. Memanglah kami mesti menegaskan kepada rakyat terutamanya penyokong-penyokong Najib Razak bahawa beliaulah yang bertanggungjawab dan kami akan memberi fakta-fakta yang sebenar, bukannya angka-angka yang telah dimanipulasi,” sinis Chang.
Baru-baru ini Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan hutang negara telah mencecah RM1 trilion. Paling besar dalam sejarah sejak merdeka.
Pecahan hutang itu berupa, hutang rasmi Kerajaan Persekutan RM 686.8 bilion; hutang yang dijamin kerajaan RM 199.1 bilion dan projek yang ditanggung kerajaan RM 201.4 bilion
Jumlah yang begitu besar menyebabkan beberapa janji PH terpaksa ditangguhnya sehingga sebahagian hutang dibayar terlebih dahulu.