Sebaik melangkah masuk ke Kementerian Kewangan, Lim Guan Eng dihadapkan dengan “fail sulit merah” – sebuah fail yang didakwa hanya dapat diakses orang tertentu.
Antara perkara yang terkandung dalam fail itu adalah penyelewengan dan skandal berkaitan 1MDB.
Dalam wawancara bersama Sinar Harian hari ini, Lim mendedahkan fail itu turut mengandungi kontrak kerajaan yang mempunyai syarat yang “luar biasa dan merugikan kerajaan”.
Katanya, antara syarat itu seperti pembayaran mengikut tempoh masa dan bukannya tahap penyiapan projek.
“Biasanya kalau kerja siap 30 peratus, kita akan bayar 30 peratus. Tetapi ini tidak diamalkan. Kerja baru siap 30 peratus tetapi sudah dibayar 70 peratus. Mengapa?
“Kerana perjanjian dibuat bergantung kepada tempoh masa iaitu pembayaran dibuat setiap enam bulan, tak kira ada buat kerja atau tak buat kerja,” katanya seperti dipetik. – Mkini