Dewan Pemuda PAS Negeri Perak mempersoalkan tindakan TV3 yang terus-menerus mencaci Ketua Menteri Negeri Pulau Pinang, Lim Guan Eng disebabkan isu ‘memburukkan’ Negeri Johor setiap malam di dalam Buletin Utama walaupun Lim atas nama Ketua Menteri telah memohon maaf.
Penolong Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Safarizal Saleh menyifatkan usaha TV3 hanyalah satu misi politik memburukkan imej pimpinan Pakatan Rakyat (PR) menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13. Beliau menyoal mengapa ungkapan penghinaan ke atas kerajaan Johor oleh pemimpin Umno sebelum ini tidak langsung dipertikaikan oleh stesen penyiaran itu
“Kami cukup hairan apabila pimpinan Umno / Barisan Nasional (BN) yang mengukap kenyataan-kenyataan seumpama ini, mengapa TV3 tidak membuka isu tersebut?
“Seperti kenyataan Pengerusi Pergerakan Pemuda BN Negeri Perak, Khairul Azwan Harun dalam memperkatakan isu pasir dan dalam masa yang sama turut menyamakan Negara Singapura menyerupai Yahudi Regim Zionis Israel pada bulan Mei yang lalu.
“Sehingga kini Khairul Azwan tidak pula memohon maaf atau menafikan kenyataannya atau bertindak menyaman akhbar yang menyiarkan kenyataan tersebut.
“Adakah suara Khairul Azwan yang memegang jawatan penting dalam politik Umno / BN Perak dan menjadi teras pemerintahan Kerajaan Negeri Perak kini mewakili suara dan juga pandangan dasar Kerajaan Negeri?
“Apa perbezaan di antara dua tokoh tersebut? Adakah kerana Lim daripada DAP dan Khairul Azwan daripada Umno? Dan adakah Lim berbangsa Cina dan Khairul Azwan berbangsa Melayu? Serta, adakah kerana isunya berkaitan dengan Johor dan Singapura sahaja? Jelas bahawa TV3 adalah agen BN untuk memastikan BN akan terus kekal berkuas, tidak lebih daripada itu,” bidasnya.