Akhbar milik Umno, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (UMMB) sedang mempertimbangkan melaksanakan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) pada tahun ini melibatkan sekurang-kurangnya 50% daripada 1,400 kakitangan sebagai sebahagian usaha penstrukturan semula syarikat itu.
Pengarah Urusan Kumpulan Noordin Abbas berkata VSS perlu dilakukan demi masa depan Utusan, selain akhbar itu mengambil langkah penjimatan secara keseluruhan.
“Kita jangka langkah VSS ini akan dibuat tidak lama lagi tetapi bergantung kepada kelulusan ahli lembaga pengarah. Ini kerana UMMB tidak boleh beroperasi dengan jumlah pekerja yang ramai.
“Dalam masa sama, kita juga perlu laksanakan langkah-langkah pengurangan kos secara menyeluruh bagi mengelakkan kerugian antara RM7.5 hingga RM8 juta setiap bulan. Dengan pendekatan ini, kita akan bina semula syarikat menghadapi cabaran dalam industri media,” katanya dipetik daripada Utusan Online.
Beliau berkata demikian selepas mesyuarat agung tahunan ke-50. Utusan Melayu dan anak-anak syarikatnya (kumpulan) mencatatkan pengurangan kerugian sebelum cukai sebanyak RM16.9 juta daripada RM23 juta bagi suku pertama 2017 kepada RM6.1 juta bagi tempoh sama 2018.
Penurunan kerugian itu disebabkan oleh pendapatan daripada projek pembekalan tablet kepada guru-guru yang masih lagi diteruskan untuk 2018. Pendapatan daripada segmen penerbitan, pengedaran dan pengiklanan meningkat 32.6%.
Star Online pula memetik Ketua Pengarah Utusan Abdul Aziz Ishak sebagai berkata syarikat itu mengambil masa agak lama untuk melaksanakan VSS sedangkan syarikat media lain sudah pun memulakan langkah pemotongan kos.
Katanya, Utusan sangat menjaga kebajikan kakitangannya, tetapi situasi sekarang mendesak akhbar itu mengambil langkah yang “tidak dipertimbangkan sebelum ini”.
Sebelum ini dilaporkan bahawa pengurusan tertinggi Kumpulan Utusan Melayu sudah memaklumkan kepada kakitangannya bahawa penstrukturan semula besar-besaran akan berlaku.
Utusan sebelum ini sering menyiarkan artikel yang mengecam Pakatan Harapan sebelum PRU14 pada 9 Mei dan beritanya sering menimbulkan ketakutan dan perpecahan terutama dalam kalangan Melayu dan umat Islam. – TMI