Pembongkaran ‘fail merah’ terbukti masih belum berakhir apabila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membayangkan beberapa fail tersebut akan mendedahkan lebih banyak skandal susulan siasatan yang masih dijalankan di kementerian itu.
“Jika anda merujuk skandal yang bernilai berbilion ringgit, yang paling besar… saya rasa setakat itu sahaja.
“Bagaimanapun, siasatan ini masih lagi dijalankan. Selainnya dalam jumlah yang kecil, (mungkin) babitkan jutaan (ringgit). Kita akan menanganinya kemudian.”
“Dokumen itu juga masih diteliti. Ini merupakan proses yang getir tetapi perlu dilakukan. Kita perlu menunggu dan membersihkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif dengan Bernama yang diadakan genap sebulan berakhirnya pilihan raya umum ke-14 yang menyaksikan kejayaan Pakatan Harapan menawan Putrajaya.
Ditanya mengenai kemungkinan ‘fail merah’ tertentu dimusnahkan sebelum peralihan kerajaan, Lim berkata: “Anda boleh memusnahkan dokumen tapi kita boleh menyusunnya (semula). Kemajuan hari ini membolehkan jejak wang sedemikian mampu dikesan. Oleh itu, adalah sukar untuk menyembunyikannya.”
Beliau berkata, sewaktu memulakan tugas sebagai menteri kewangan pada 22 Mei 2018, maklumat yang dibentangkan kepadanya adalah jauh lebih buruk daripada jangkaan awal.
“Saya amat terkejut. Malah, sejak itu saya terpaksa mengharungi ‘lautan’ dakwat merah ini,” katanya.
Pendedahan sebelum ini menunjukkan kerajaan terpaksa berusaha mendapatkan wang berjumlah RM6.9 bilion bagi membayar hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sejak April 2017.
Ini kemudiannya disusuli oleh pendedahan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini turut menggunakan wang daripada urus niaga dengan Khazanah Nasional Bhd serta hasil jualan tanah kepada Bank Negara Malaysia untuk melunaskan obligasi hutang 1MDB.
Ketika rakyat masih terkejut dengan perkembangan itu, mereka didedahkan pula dengan satu skandal saluran paip gas membabitkan RM9.41 bilion yang turut dikaitkan dengan 1MDB.
“Mereka tergamak berbohong,” kata Lim yang turut berkongsi nada kecewanya.
“Mereka (BN) juga katakan bahawa mereka hanya mengikut standard IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa). Sebab itulah jumlah (hutang) sebanyak RM686.8 bilion. Namun bagaimana pula dengan jaminan hutang kerajaan yang mencecah 199.1 billion?
“Begitu juga projek perkongsian awam-swasta bernilai RM201.4 bilion yang membawa kepada jumlah hutang mencecah sehingga RM1 trilion.
“Dalam terma ekonomi, sebarang hutang yang meragukan perlu diakui sebagai hutang lapuk dan perlu diselesaikan.
“Apa yang kita ada merupakan bebanan hutang yang perlu kita langsaikan bagi pihak syarikat seperti 1MDB,” katanya.
Menurutnya, di sebalik perkembangan itu, rakyat Malaysia masih bernasib baik kerana menyaksikan perubahan kerajaan pada pilihan raya lepas.
“Kita kini dapat menangani isu hutang dengan sewajarnya.”
Lim turut menegaskan bahawa kerajaan baharu ini bukanlah bersifat ‘mulut manis’ dan rakyat berhak mengetahui perkara sebenar.
Justeru, apa yang penting adalah memaklumkan perkara sebenar berkaitan keadaan kewangan negara bagi membolehkan Malaysia memulakan proses pembinaan semula, katanya.
Kerajaan Pakatan Harapan juga tidak membazirkan sebarang masa untuk memulakan tugas yang diamanahkan dengan seberapa segera.
“Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamed) telah mengumumkan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kita juga telah menstabilkan harga minyak, mengumumkan Bantuan Sara Hidup Rakyat dan pemberian bayaran khas RM400 untuk penjawat awam Gred 41 dan ke bawah (sempena Hari Raya),” katanya.
Golongan pesara juga tidak terkecuali apabila kerajaan turut mengumumkan bayaran khas RM200.
“Ini membabitkan pembayaran sebanyak RM22 bilion iaitu wang yang dikembalikan semula kepada rakyat. Kita boleh lakukan ini tanpa GST,” katanya.
Mengulas kemajuan masa depan, beliau berkata apa yang penting adalah untuk mengurangkan aspek kewangan dan berjimat.
“Sebagaimana yang Tun Dr Mahathir tekankan, kita juga tidak boleh mengharapkan lagi pemberian habuan secara percuma.”
Ditanya mengenai perancangan kerajaan Pakatan Harapan dan manfaat yang bakal dibentangkan dalam Bajet 2019, beliau berkata : “Biarkan saya tangani dahulu perkara yang berlaku pada tahun ini.
“Kita perlu menelan ubat (pahit), apalagi Perdana Menteri kita adalah seorang doktor. Bagi saya, soal ini (masalah hutang negara) masih boleh dipulihkan.” – Mkini