Antara nama yang dikemukakan PKR sebagai calon menteri kabinet kepada Perdana Menteri TunDr Mahathir Mohamad ialah Setiausaha Agungnya Datuk Saifuddin Nasution, naib presiden Shamsul Iskandar Md Akin dan Xavier Jayakumar.
Shamsul berkata beliau dimaklumkan kebanyakan kepimpinan tertinggi PKR dimasukkan ke dalam senarai calon menteri.
“Mereka meletakkan semua pimpinan tertinggi (seperti) saya sendiri, Xavier, Saifuddin, semua kepimpinan tertinggi,” katanya kepada Malaysiakini semalam.
Bagaimanapun, Shamsul berkata, beliau tidak tahu portfolio kabinet mana yang diminta PKR kerana surat yang mengandungi senarai nama itu dihantar terus oleh presiden parti, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Surat itu dihantar oleh presiden sendiri, jadi saya tidak tahu, tetapi menurutnya, dia meletakkan semua nama kepimpinan tertinggi, termasuk wakil presiden, setiausaha agung dan semua itu,” katanya.
Namun, Shamsul berkata tidak pasti jika naib presiden Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli dimasukkan ke dalam senarai itu.
Sebelum ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan Nurul Izzah tidak mahu jawatan dalam kabinet.
Sementara itu, Shamsul maklum perbicaraan kes jenayah Rafizi ketika senarai itu dikemukakan.
Shamsul, yang juga Anggota Parlimen Hang Tuah Jaya, percaya pengumuman menteri kabinet akan menyertakan sekitar enam atau tujuh menteri daripada PKR, memandangkan parti mereka memenangi paling banyak kerusi dalam pilihan raya umum lepas.
“Kami berharap kadar perwakilan yang sejajar akan dilihat dalam kabinet,” katanya.
Beliau berharap Dr Mahathir bakal mengumumkan barisan kabinet penuh tidak lama lagi kerana sidang parlimen akan datang bermula pada 16 Julai.
Shamsul berkata menteri-menteri baru perlu diberi masa untuk mengkaji secara menyeluruh kementeriannya sebelum sidang parlimen.
“Dan tentu saja, rakyat tertunggu-tunggu untuk mengetahui siapa yang akan bertanggungjawab terhadap kementerian tertentu dan penggabungan kementerian,” katanya.
Dengan namanya dikemukakan sebagai calon menteri kabinet, Shamsul berkata jika dipilih sebagai menteri, beliau ingin mendapatkan portfolio Kementerian Luar Negeri.
Walaupun beliau memahami pembentukan kabinet sepenuhnya hak perdana menteri, beliau yakin mempunyai banyak pengalaman berurusan dengan sumbangan dan komitmen antarabangsa.
Shamsul memaklumkan beliau ialah bendahari yang dipilih bagi Rangkaian Parlimen untuk Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan terlibat secara aktif dalam organisasi Anggota Parlimen antarabangsa untuk Global Action (PGA) serta Commonwealth Parliamentary Association.
“Walaupun ini adalah ketika kami masih menjadi pembangkang, jadi kami mempunyai pengalaman yang sangat terhad tetapi saya diberi keyakinan untuk mewakili parti saya dan blok pembangkang dalam pelbagai program dan sidang antarabangsa, sehingga benar-benar menarik minat saya,” katanya.
Beliau juga berminat dengan portfolio Kementerian Pelancongan,kerana kawasannya terletak di negeri Melaka.
Shamsul percaya beliau dapat memperkasa industri pelancongan, bukan sahaja di Melaka tetapi juga di negeri-negeri lain seperti Sabah, Terengganu dan Kelantan.
“Ia sangat berkaitan dengan kawasan yang saya wakili dan saya mempunyai minat untuk membangun serta meneroka lebih banyak industri pelancongan supaya dapat menyumbang pendapatan kepada pentadbiran sekarang,” katanya.
Pada masa ini, seramai 13 menteri telah diumumkan dan Mahathir telah berkata pentadbirannya tidak akan memiliki lebih daripada 30 kementerian.
Jumlah ini juga termasuk menteri dari Sabah dan Sarawak, katanya. – Mkini