Terdapat dua isu yang menjadi perhatian rakyat dalam masa sebulan pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Menurut Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Ng Suee Lim, kejayaan pihak berkuasa Malaysia membawa pulang ketua Gerakan Merah Jamal Yunus yang bersembunyi di Indonesia dan melengkapkan siasatan terhadap penyelewengan 1Malaysia Development Berhad akan menjadi indikator sukses atau lemahnya kerajaan di mata rakyat, malah juga dalam kalangan negara-negara jiran.
“Pihak polis perlu menggiatkan usaha menangkap Jamal Yunos (Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar) yang dilaporkan sudah berada di Indonesia. Polis Malaysia boleh mendapatkan kerjasama dari polis Indonesia untuk memberkas Jamal.
“Kalau Jamal tidak diberkas dalam masa terdekat, maka lain-lain negara jiran akan memandang rendah terhadap pihak berkuasa negara kita. Ini tentulah akan menjejaskan imej negara,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan itu kepada Suara pakatan daily.
Ng berpendapat walaupun PH telah menjadi Kerajaan Pusat dalam masa sebulan, namun mereka mesti menunjukkan tahap prestasi “1,000 kali lebih baik daripada Kerajaan BN” kerana rakyat Malaysia menaruh harapan yang tinggi.
“Ya, Kerajaan Pakatan sedang menghadapi kemelut kewangan tetapi yang penting sekarang ialah kes 1MDB, Altantuya dan kapal selam Scorpene dan semua kes penyelewengan yang berlaku zaman BN patut dibuka dan disiasat semula.
“Saya yakin satu demi satu pihak yang sudah melakukan kesalahan akan dihadapkan ke muka pengadilan tidak lama lagi,” sambung Ng.
Mengulas isu sama, Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang mengalu-alukan usaha perlantikan Peguam Negara baharu, Tommy Thomas yang mahir dalam urusan perniagaan dan Perlembagaan.
Thomas katanya akan menghubungi kerajaan Amerika Syarikat, Luxembourg, Switzerland dan lain-lain di mana terdapat urusan 1MDB agar wang yang diselewengkan dapat dikembalikan kepada Malaysia dengan sukses.
“Malaysia akan bekerjasama dengan pihak penyiasat di negara-negara tersebut kerana pada zaman BN mereka tidak mahu memberi kerjasama dalam hal 1MDB.
“Kita mesti menunjukkan kepada seluruh dunia bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang bersih, telus dan mengamalkan kedaulatan undang-undang,” tegas Chang.
Untuk negeri Perak pula, kata Chang, DAP telah membongkar isu Perak Corp Berhad yang mengalami kerugian sebanyak RM340.6 juta untuk tahun kewangan 2017.
Menurut Chang, isu ketirisan tersebut serius dan semua yang bertanggungjawab dalam syarikat itu patut meletak jawatan.
“Setiap negeri mempunyai masalah kewangan kecuali Selangor dan Pulau Pinang yang ditadbir oleh Pakatan sejak tahun 2008.
“Saya harap dengan Kerajaan Pusat Pakatan Harapan, semua negeri akan ditadbir dengan baik mulai tahun ini supaya kita dapat menikmati manfaat sebagai rakyat Malaysia,” katanya lagi.