Cadangan pemansuhan bantuan sara hidup nelayan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad harus diteliti dengan wajar dan jujur.
Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin berkata, ada banyak ruang penambahbaikan bagi membela kehidupan dan nasib para nelayan di seluruh negara.
“Saya berpandangan dasar bantuan sara hidup dalam bentuk pemberian wang tunai secara terus harus dihentikan dan diganti dengan dasar yang lebih bersasar.
“Ada beberapa bentuk bantuan yang diterima para nelayan haruslah dibuat dengan telus dan lestari dalam masa yang sama berperanan untuk memberdayakan golongan nelayan,” katanya.
Menurutnya, apa jua bantuan yang ingin diteruskan haruslah dengan prinsip sebagai jaringan keselamatan sosial, bukan pemberian wang tunai semata-mata.
“Saya mencadangkan agar bantuan sara hidup nelayan dalam bentuk wang tunai digantikan dengan pemberian kad subsidi bantuan makanan dan barang keperluan.
“Pelaksanaan dasar ini bagi memastikan para nelayan dan keluarga benar-benar mendapat barang keperluan asas daripada kedai-kedai terpilih mengikut had serta kelayakan yang ditetapkan.
“Langkah ini bukan saja menepati ciri untuk mewujudkan jaringan keselamatan sosial kepada nelayan, tetapi pada masa sama menjadikan ia satu program subsidi bersasar,” katanya.
Jelasnya, satu audit menyeluruh wajib dilakukan bagi memastikan satu daftar nelayan yang bersih dan dikemaskini sahaja yang digunakan.
“Saya percaya langkah ini dapat mengurangkan salah guna serta ketirisan daripada terus berlaku,” katanya.