Barisan Nasional (BN) sudah tidak relevan lagi dalam kancah politik apabila gabungan itu kalah dan tidak menjadi kerajaan selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu, kata Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN Tan Sri Annuar Musa.
Annuar menolak teori bahawa Umno perlu membina semula kekuatan dalam BN bagi mengetuainya dan bersedia hadapi pilihan raya umum ke-15 akan datang.
“Saya minta maaf dan cakap terus terang, BN sudah tidak relevan dalam konteks masa sekarang. Apabila kita hilang kuasa pemerintahan sudah tentu parti komponen di Sarawak misalnya mendapati BN tidak releven.
“Begitu juga parti politik di Sabah dan Gerakan. BN adalah satu solusi untuk berkongsi kuasa, bukan pakatan untuk menjadi pembangkang. Sebab itu kerajaan Sabah dan Sarawak lihat BN tidak releven,” katanya kepada FMT ketika ditemui di kediamannya di Bukit Damansara.
Kelmarin, Gerakan mengumumkan keluar BN sebulan setengah selepas gagal menang satu pun kerusi yang ditandinginya pada pilihan raya baru lepas.
BN kini hanya dianggotai 3 parti iaitu Umno, MCA dan MIC, berbanding 13 parti komponen sebelum pilihan raya.
Keputusan Gerakan menyusul 11 hari selepas 4 parti komponen di Sarawak meninggalkan BN dan membentuk pakatan politik tempatan atas nama Gabungan Politik Sarawak (GPS). – FMT