Pimpinan PKR dan Bersatu Negeri Perak menyerahkan kepada keputusan pucuk pimpinan parti untuk menerima Ahli Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali sertai mana-mana parti dalam gabungan itu.
Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata, sebarang pemohonan menyertai Bersatu akan dirujuk kepada parti dan terletak kepada keputusan dan persetujuan pimpinan tertinggi parti itu sebelum dimuktamadkan.
Ahmad Faizal yang juga Pengerusi PH Perak berkata, beliau berasa syukur kerana Dr Noor Azmi menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan beliau di negeri Perak dan mendakwa beliau sendiri tidak pernah berhubung dengan Dr Noor Azmi secara peribadi.
“Sokongannya itu saya nyatakan rasa syukur kepada Allah SWT dan berterima kasih tetapi saya mengakui tidak pernah berhubung dengan ahli parlimen Bagan Serai malah tak tahu keputusan dibuatnya itu mungkin keputusan sendiri.
“Saya juga tak pasti dia ingin menyertai parti mana tetapi PPBM Perak sekiranya ada permohonan oleh sesiapa yang ingin memohon menjadi ahli kami akan serahkan kepada pucuk pimpinan,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail semalam, yang menyerahkan kepada PH Perak untuk menentukan sama ada menerima Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali menyertai mereka.
Semalam Dr Noor Azmi mengumumkan beliau keluar Umno dan menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak. Ini memberikan gambaran kemungkinan Dr Azmi akan menyertai Bersatu.
Dalam satu kenyataan dipetik, Ketua Penerangan PKR Perak, Siti Aishah Shaik Ismail pula berkata, parti itu tetap berpegang teguh dengan prinsip yang telah dinyatakan bahawa sesiapa sahaja boleh menyatakan sokongan namun itu bukanlah satu jaminan bahawa mereka diterima di dalam PH.
“Parti Keadilan Rakyat Perak mengambil maklum berhubung dengan kenyataan yang dibuat oleh Dr Noor Azmi yang telah mengumumkan untuk meninggalkan Umno dan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dan Menteri Besar Perak Faizal Azumu.
“Saya menyifatkan bahawa apa yang dibuat oleh Dr Noor Azmi tidak kurang hanya sebagai modal akhir beliau dalam meneruskan kelangsungan politik beliau yang sedia ada,” katanya.
Jelasnya lagi, semua sedia maklum bahawa Ahli Parlimen Bagan Serai itu merupakan individu di dalam Umno yang sebelum ini lantang menyindir dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang langsung tidak melambangkan dan menjaga sensitiviti beliau sebagai wakil rakyat kepada rakyat yang diwakilinya.
“Kepada Dr Noor Azmi sewajarnya beliau menjadikan tempoh ini sebagai masa untuk beliau bermuhasabah dan memohon kemaafan kepada rakyat atas sikap lalu yang telah dilakukan dalam menyokong dan mendokong kerajaan Umno Barisan Nasional,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Manakala Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Negeri Perak, Muhammad Faeez Azhar, pula dipetik berkata, mereka mengambil serius fenomena keluar parti daripada komponen BN selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Tindakan keluar Umno itu bukan hanya dari kalangan penyokong serta ahli sebaliknya melibatkan kepimpinan tertinggi dan wakil rakyat sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mahupun Ahli Parlimen yang dilihat mempunyai kepentingan dan agenda tertentu.
Dr Noor Azmi memenangi kerusi Parlimen Bagan Serai dengan majoriti tipis 172 undi mengalahkan pencabarnya dari Pas, Rohaya Bakar pada pilihan raya umum lalu.
Beliau pada masa ini menjadi ahli parlimen bebas dan merancang akan menyertai Bersatu. – MD