Polis Malaysia bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia untuk menahan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar untuk dibawa pulang ke negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.
“Saya dimaklumkan yang dia masih berada di Indonesia, kami sudah kenal pasti di mana dia berada.
“Kerjasama yang baik dari polis Indonesia. Mereka merancang untuk menangkap dia (dan menyerahkan) kepada Malaysia,” kata Muhyiddin kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Hari Raya di Bukit Aman, tengah hari ini.
Mengulas perkara lain, Muhyiddin berkata beliau masih belum dimaklumkan mengenai keberadaan bekas ketua menteri Sabah Musa Aman.
Jamal melarikan diri semasa proses ikat jamin dijalankan di Hospital Ampang Puteri pada 25 Mei lalu.
Waran tangkap dikeluarkan ke atas pemimpin gerakan baju merah itu awal bulan ini.
Jamal didakwa di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan berkaitan kes gangguan awam selepas memimpin bantahan pada Oktober 2017 dengan memecahkan beberapa botol minuman keras di luar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam.
Dia juga disiasat mengikut Seksyen 34 Akta Senjata 1960 kerana membawa senjata api semasa dalam keadaan mabuk atau tidak senonoh. – TMI